
ROM, 4 November – Itali mengadakan rundingan bersama pasukan perisikan pada Selasa, berikutan serangan siber terhadap sistem peti sejuk beku pasar raya di negara-negara Eropah, sejak kebelakangan ini.
- Serangan menjejaskan sekurang-kurangnya 10 negara EU dan Britain, menyebabkan stok makanan rosak selepas suhu peti sejuk meningkat.
- EU menganggap ia cubaan sengaja mengganggu rantaian bekalan makanan; siasatan sedang dijalankan dan tindak balas bersama dirangka.
- Impak dilaporkan sangat terhad, terutamanya premis guna sistem keselamatan ketinggalan zaman; agensi keselamatan siber keluarkan nasihat teknikal.
Setakat ini, motif serangan siber berkenaan masih belum diketahui dan belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
Kesatuan Eropah (EU), bagaimanapun memberi amaran bahawa serangan berkenaan merupakan cubaan sengaja untuk mengganggu rantaian bekalan makanan blok berkenaan.
Jurucakap EU, Thomas Regnier berkata perbincangan dengan pihak berkuasa negara anggota diadakan pada Selasa, bertujuan merangka tindak balas bersama.
“Siasatan kini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa negara masing-masing dan kami terus berhubung rapat.
“Insiden berkenaan bukan kejadian terpencil dan telah tentu kami mempunyai persediaan secara bersama untuk menghadapi insiden siber seperti ini”katanya.
Pasar raya di sekurang-kurangnya 10 negara anggota EU, termasuk Jerman, Itali dan Belanda, melaporkan masalah yang memaksa pihak pengendali premis membuang bekalan makanan selepas suhu dalam peti sejuk dan peti sejuk beku meningkat.
Britain, yang bukan anggota EU juga dilaporkan turut terjejas.
Ketua keselamatan siber negara itu, Richard Horne, memberitahu BBC bahawa masalah berkenaan menjejaskan “keseluruhan rantaian bekalan makanan”.
Persatuan Pembekal Daging Bebas Britain (AIMS) turut memberitahu BBC dua daripada ahlinya mendapati peti sejuk mereka mula mengalami proses pencairan ais, manakala sebuah lagi premis menyaksikan suhu unit penyejukan meningkat secara mendadak.
Pasar raya di Perancis turut menjadi sasaran, pada bulan lepas sehingga mengakibatkan ratusan cawangan terpaksa membuang stok makanan yang telah rosak.
Pesuruhjaya Makanan dan Pertanian EU, Christophe Hansen pula berkata serangan tersebut merupakan “cubaan sengaja untuk mengganggu rantaian bekalan makanan”.
Kerajaan Itali memaklumkan, setakat ini impak serangan berkenaan masih “sangat terhad” dan hanya melibatkan premis yang menggunakan sistem keselamatan yang ‘ketinggalan zaman’.
“Hanya sebilangan kecil premis perniagaan yang terjejas,”menurut kenyataan.
Bagaimanapun, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan telah mengeluarkan nasihat teknikal kepada pengusaha peruncitan bagi melindungi sistem masing-masing.- AFP