
LONDON, 4 November – Pihak berkuasa mengesahkan 10 penerbangan di Eropah menerima ancaman bom melibatkan pesawat penumpang sehingga mengakibatkan satu lapangan terbang di Warsaw ditutup sementara, namun tiada bahan letupan ditemukan ketika pemeriksaan menyeluruh dilaksana terhadap kesemua pesawat berkenaan.
- Ryanair paling terjejas dengan empat penerbangan menjadi sasaran ancaman bom.
- Lapangan terbang Poland laporkan dua amaran menyasarkan penerbangan ke Warsaw, termasuk SAS dari Copenhagen dan LOT dari Heathrow.
- Jet pejuang Itali dikerahkan untuk mengiringi penerbangan Ryanair FR9611 dari Dublin selepas ancaman.
- Pemeriksaan dan prosedur keselamatan dijalankan; amaran ditarik balik tanpa menjejaskan keselamatan penumpang.
Polis Metropolitan memaklumkan syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair paling terjejas dengan empat penerbangan ke destinasi berbeza menjadi sasaran ancaman berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memberitahu maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan dan turut memaklumkan mengenai satu lagi amaran diterima di Lapangan Terbang Manchester.
“Tiada isu keselamatan selepas pemeriksaan dilaksanakan,”menurut Polis Metropolitan.
Sementara itu pihak berkuasa lapangan terbang Poland berkata, dua amaran ancaman bom menyasarkan pesawat yang menuju ke Warsaw termasuk penerbangan Scandinavian Airlines (SAS) dari Copenhagen dan sebuah penerbangan dari Heathrow yang dikendalikan syarikat penerbangan Poland, LOT.
Pengendali lapangan terbang Sepanyol, Aena pula mengesahkan protokol kecemasan diaktifkan “berikutan amaran ancaman bom” terhadap sebuah penerbangan Ryanair yang tiba dari Manchester di Murcia.
Penerbangan Ryanair dari Lisbon ke Rom, Dublin ke Rom serta Dublin ke Sofia, Bulgaria turut menerima amaran ancaman bom.
Susulan itu, jet pejuang tentera udara Itali dikerahkan untuk mengiringi penerbangan Ryanair FR9611 dari Dublin.
Prosedur keselamatan serta pemeriksaan telah dijalankan susulan amaran kedua yang berakhir tanpa menjejaskan keselamatan penumpang dengan amaran berkenaan ditarik balik.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Bulgaria memaklumkan kepada AFP bahawa satu penerbangan Wizz Air dari Bergamo, Itali turut diperiksa selepas mendarat di Sofia, susulan satu amaran ancaman bom.
Semua insiden itu berlaku selepas jet pejuang dikerahkan pada Isnin apabila sebuah penerbangan Wizz Air dari Lapangan Terbang Luton, London, menuju ke Sofia terpaksa dilencongkan susulan ancaman bom dan melakukan pendaratan kecemasan di Budapest. – AFP