
KUALA LUMPUR, 4 November – “Sekeping gambar, tetapi menyimpan begitu banyak kenangan serta kisah,” antara catatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook selepas menerima sekeping gambar lama daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah, Zahra Mohamad Zelman.
- Gambar merakam detik kemenangan pertama beliau di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982.
- Ia menunjukkan beliau diraikan oleh moyang Zahra, Allahyarham Arshad Ahmad.
- Beliau berpesan supaya mereka terus menuntut ilmu, berani menyimpan dan mengejar cita-cita serta didoakan perjalanan hidup dipermudah.
Sekeping gambar lama itu merakamkan kenangan Perdana Menteri meraikan kemenangan pertama di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982.
“Gambar itu merakamkan detik saya diraikan oleh moyang Zahra iaitu Allahyarham Arshad Ahmad, selepas memenangi kerusi Permatang Pauh.
“Waktu yang cuba diimbau itu telah lama berlalu, namun ingatan kepada insan-insan serta kalangan mereka yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perjuangan kekal di sanubari yang terdalam,”kata Datuk Seri Anwar dalam hantaran itu.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut berpesan kepada Zahra dan rakan-rakannya agar terus menuntut ilmu, berani menyimpan serta mengejar cita-cita selain turut mendoakan agar perjalanan kehidupan mereka sentiasa dipermudah.