
PUTRAJAYA, 3 November – Keselamatan menyeluruh dan kedaulatan negara sama sekali tidak akan dikompromi berikutan keadaan terkini di peringkat global yang sedang berhadapan dengan ketidaktentuan serta konflik kepentingan.
- KSN arah semua KSU dan Ketua Perkhidmatan menyelaras kesiapsiagaan, perkongsian maklumat serta kejelasan peranan setiap pihak.
- Kerajaan diminta menilai ancaman bukan konvensional termasuk ancaman siber, sabotaj, maklumat palsu dan gangguan rantaian bekalan.
- Semua kementerian dan agensi mesti semak Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) bagi memastikan fungsi penting diteruskan ketika gangguan kritikal.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung kesiapsiagaan keselamatan negara, beliau telah mengarahkan semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Perkhidmatan menyelaras langkah kesiapsiagaan kerajaan.
Menurut beliau, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menilai semua ancaman yang tidak lagi tertumpu secara konvensional, sebaliknya merangkumi mekanisme pengukuhan terhadap ancaman siber, sabotaj, maklumat palsu serta gangguan rantaian bekalan.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan semua kementerian khususnya dari segi penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat, kejelasan peranan setiap pihak serta perancangan yang lebih tersusun dan keupayaan bertindak dengan segera apabila berhadapan dengan sebarang ancaman.
“Keputusan juga dibuat supaya semua kementerian dan agensi kerajaan menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan atau ‘Business Continuity Plan’ (BCP) masing-masing supaya fungsi penting kerajaan dapat diteruskan sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap sistem komunikasi, tenaga, pengangkutan atau kemudahan kritikal,” katanya dalam menerusi Facebooknya.
Beliau menegaskan, setiap implikasi dan risiko terhadap keselamatan negara, kepentingan sektor strategik serta keselamatan rakyat kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.