OACS 2026–2030, perkukuh integriti AADK

Foto SPRM

CYBERJAYA, 3 November – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkukuh integriti dan tadbir urus organisasi menerusi pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) 2026–2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Strategi OACS berfungsi menutup ruang penyelewengan dan salah guna kuasa dalam organisasi.
  • Keberkesanan operasi AADK bergantung pada kredibiliti, integriti dan jati diri setiap warga kerja.
  • Ketua Pengarah AADK menyampaikan penghargaan kepada SPRM atas usaha berterusan memperkukuh integriti dan pencegahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pelaksanaan OACS berpotensi menutup ruang berlakunya amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam organisasi terbabit.

Tambahnya keberkesanan operasi AADK sebagai barisan hadapan aspek keselamatan sosial negara amat bergantung kepada kredibiliti, integriti dan jati diri setiap warga kerjanya.

“Sasaran Agenda Dadah Terkawal 2030 untuk mengurangkan kadar penagihan kepada 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk sukar dicapai sekiranya integriti dalaman AADK tidak diperkukuh.

“Impian untuk mencapai sasaran ini hanya akan kekal sebagai angka di atas kertas sekiranya benteng integriti dalaman organisasi tidak diperkukuhkan,” katanya menerusi kenyataan di facebook selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti AADK 2026, di sini.

Mengulas mengenai pelancaran OACS 2026–2030, beliau berkata strategi berkenaan bukan sekadar dokumen rasmi atau retorik, sebaliknya berfungsi sebagai panduan tadbir urus yang dirangka secara holistik dalam membantu organisasi mengesan, menilai dan menutup segala ruang dan peluang berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh merakamkan penghargaan kepada SPRM atas usaha berterusan memperkukuh integriti serta langkah pencegahan rasuah di agensi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.