MotoGP Malaysia catat sejarah, rekod kehadiran tertinggi

Foto BERNAMA

HULU LANGAT, 3 November – Penganjuran Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, minggu lalu mencatat rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah dengan hampir 200,000 pengunjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kabinet meluluskan MotoGP Sepang kekal dalam kalendar MotoGP hingga 2031, memastikan kesinambungan penganjuran bertaraf antarabangsa.
  • Penganjuran mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sukan permotoran dan memberi limpahan ekonomi melalui pelancongan serta peluang keusahawanan tempatan.
  • Kementerian Belia dan Sukan menyokong pembiayaan pelumba muda, berbincang dengan ZK Racing dan menggalakkan penaja swasta untuk kesinambungan kerjaya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata kejayaan itu mencerminkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap sukan permotoran, selain kerjasama semua pihak.

Penganjuran itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sukan permotoran antarabangsa, malah memberi limpahan ekonomi menerusi sektor pelancongan dan peluang keusahawanan tempatan.

“Kita akan terus tambah baik dan memastikan bahawa MotoGP ini akan terus diperkasa dan menjadi salah satu ikonik untuk Malaysia.

“Alhamdulillah kabinet telah pun meluluskan sebelum ini, iaitu MotoGP Sepang akan kekal dalam kalendar MotoGP sehingga tempoh sehingga tahun 2031.

“Dan jadi kita harap dari tahun ke tahun akan ada peningkatan dari segi pengunjung dan juga memberikan limpahan ekonomi yang menyeluruh, khususnya kepada rakyat malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran TVET 2.0 KBS dan Himpunan Belia TVET MADANI 2026 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai potensi penajaan semula pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, Dr Mohammed Taufiq memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan terbuka mengadakan perbincangan dengan pasukan ZK Racing.

Beliau turut menggalakkan penyertaan penaja swasta dan korporat serta bersedia membantu mempermudah urusan berkaitan bagi memastikan kesinambungan kerjaya pelumba itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.