Kurikulum baharu 2027 tumpu literasi digital, penggunaan AI beretika – Fadhlina

Datuk Seri Fadhlina Sidek/Foto Kementerian Digital

PETALING JAYA, 3 November – Kurikulum baharu bagi murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu mulai tahun 2027 akan memberi penekanan terhadap aspek literasi digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara selamat dan beretika.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penekanan literasi digital, kemahiran digital dan etika penggunaan teknologi.
  • Panduan literasi AI untuk melatih murid tanya soalan berkualiti, bukan bergantung semata-mata pada AI.
  • Fokus keselamatan penggunaan platform digital termasuk DELIMa, sokongan kewangan dan saluran penyelenggaraan dalam talian.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, menerusi kurikulum berkenaan, pelajar akan didedahkan kepada kemahiran digital serta penggunaan AI secara bertanggungjawab.

“Dari segi kemahiran digital, penekanan turut diberikan kepada aspek etika ketika berada di dunia digital dan menggunakan teknologi berkenaan.

“Oleh itu, panduan literasi AI amat penting bagi memastikan murid mampu mengemukakan soalan yang lebih berkualiti ketika menggunakan AI, dan bukan semata-mata mengharapkan teknologi itu memberikan jawapan.

“Tahun depan, kurikulum baharu bagi Tingkatan Satu dan Tahun Satu akan memberi tumpuan khusus kepada cara murid menggunakan platform digital dengan selamat, termasuk platform DELIMa, selain memperkukuh aspek berkenaan menerusi kurikulum itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Portal Sekolahku oleh Kementerian Digital kepada KPM yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Utama, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada SK Damansara Utama bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan pembelajaran murid dan guru.

Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan saluran permohonan penyelenggaraan sekolah secara dalam talian bagi membolehkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengemukakan permohonan menerusi pautan yang disediakan kementerian.

Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh transformasi pendidikan negara, bukan sahaja dari aspek penyediaan kemudahan teknologi, malah memastikan murid dilengkapi kemahiran digital, pemikiran kritis serta nilai dan akhlak dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.