
SEPANG, 2 November – Kajian kebolehlaksanaan bagi membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu ketiga atau penghujung November ini.
- Kajian menilai kos penganjuran, kesiapsiagaan litar, infrastruktur dan potensi pulangan ekonomi sebelum kerajaan membuat keputusan.
- SIC akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan serta sektor swasta seperti perhotelan dan F&B.
- Keputusan akhir bergantung kepada kos memulakan semula F1 dan slot penganjuran yang diperoleh melalui rundingan dengan pihak F1.
- Perbincangan awal menunjukkan slot penganjuran berpotensi hanya tersedia bermula 2029, SIC akan meneruskan rundingan lanjut dan bentuk kerjasama lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, kajian itu akan meneliti beberapa aspek utama termasuk kos penganjuran, kesiapsiagaan litar, kemudahan infrastruktur serta potensi pulangan ekonomi sebelum sebarang keputusan dibuat kerajaan.
Menurutnya, SIC akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain mendapatkan pandangan sektor swasta termasuk industri perhotelan serta makanan dan minuman (F&B).
Beliau berkata, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum sebarang keputusan berhubung penganjuran semula F1 di Malaysia dibuat kerajaan.
“Keputusan itu bergantung kepada beberapa faktor utama, khususnya kos untuk membawa kembali F1 serta slot penganjuran yang boleh diperoleh menerusi perbincangan dengan pihak F1.
Dalam masa terdekat, kita akan meneliti aspek kos, kesiapsiagaan litar dan infrastruktur yang perlu disediakan sebelum perlumbaan itu dapat dianjurkan semula kerana F1 bukan satu perkara kecil untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlumbaan Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Mengulas mengenai peluang Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1, Azhan berkata, berdasarkan perbincangan awal dengan pemegang hak komersial kejohanan itu, slot penganjuran yang berpotensi hanya tersedia bermula 2029.
Bagaimanapun, SIC akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak F1 bagi meneliti peluang serta bentuk kerjasama lain yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.