
KUALA LUMPUR, 2 November – Penyelidikan perlu menjadi instrumen strategik dalam reformasi sektor awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
- Penyelidikan dan penggunaan data empirikal perlu memperkukuh pembuatan keputusan berasaskan bukti untuk mengoptimumkan penggunaan sumber awam.
- Rekod dan analisis pengalaman penjawat awam penting bagi mengekalkan memori kolektif serta memastikan pengetahuan tidak hilang ketika pegawai bersara atau berpindah.
- Pengurusan atasan mesti menjadikan dapatan penyelidikan sebagai input utama dasar, bukan sekadar dokumen arkib, untuk memperkukuh keberkesanan perkhidmatan.
Menurut beliau, penyelidikan yang kukuh dan penggunaan data secara sistematik penting bagi membantu penjawat awam memperkasa proses membuat keputusan.
“Reformasi sektor awam menuntut setiap keputusan dibuat secara berpandukan bukti. Dalam keadaan ruang fiskal yang semakin mencabar, setiap keputusan dasar membawa implikasi besar terhadap penggunaan sumber awam dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff pada Kolokium Penyelidikan 2026, di sini.
Jelas Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan lagi, penyelidikan turut membantu kerajaan memahami perubahan persekitaran menerusi penggunaan data empirikal.
“Kita bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pembuatan keputusan malah kita dapat mengoptimumkan penggunaan sumber serta memastikan pencapaian perkhidmatan sentiasa relevan dengan kehendak rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman dan pengetahuan penjawat awam termasuk kejayaan serta cabaran operasi juga perlu direkod dan dianalisis secara sistematik.
Langkah itu penting bagi memastikan pengetahuan berharga tidak hilang apabila pegawai bersara atau bertukar penempatan, sebaliknya membentuk memori kolektif perkhidmatan awam untuk dimanfaatkan generasi akan datang.
Selaras usaha itu, INTAN melancarkan buku Penyelidikan Sektor Awam Malaysia: Pendekatan Kajian Tindakan sebagai antara usaha memperkukuh budaya penyelidikan sektor awam.
Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan menggesa ketua jabatan dan pengurusan tertinggi agensi kerajaan menjadikan dapatan penyelidikan sebagai input utama dalam pembuatan keputusan, bukan membiarkannya sekadar menjadi dokumen simpanan.