
KUALA LUMPUR, 2 November – Permohonan lesen perniagaan baharu tidak akan diluluskan bagi syarikat yang berpotensi meningkatkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
- Langkah bertujuan mengawal pertambahan pekerja asing di negara ini.
- Memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diisi tenaga kerja tempatan, termasuk graduan TVET lebih 400,000.
- Pengambilan pekerja asing dibenarkan tetapi terhad kepada pekerjaan bahaya, sukar dan kotor.
- Kementerian dan MIDA akan memberi penjelasan lanjut kepada pihak industri mengenai ketetapan ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, langkah itu bertujuan mengawal pertambahan pekerja asing di negara ini.
Sekali gus, memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diisi tenaga kerja tempatan termasuk lebih 400,000 graduan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita sudah ada 2.6 juta pekerja asing. Sesiapa yang datang dan cuba memohon lesen baharu untuk menjalankan sesuatu yang sama atau seumpamanya dengan syarikat yang sudah beroperasi dalam negara, kita kata tidak boleh.
“Kalau dia mahu pekerja asing, nanti jumlah pekerja asing akan terus meningkat. Jadi, bagaimana kita hendak mengurus pelajar kita sedangkan sekarang graduan TVET sudah mencecah lebih 400,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Johari memaklumkan, pengambilan pekerja asing masih dibenarkan namun dihadkan kepada pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor (3D).
Kementeriannya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi penjelasan kepada pihak industri berhubung ketetapan tersebut.