Anugerah KKP Negara, perluas amalan terbaik industri

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 November – Pemenang Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara 2025 berperanan sebagai mentor kepada organisasi lain dalam usaha memperluas amalan terbaik pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif membolehkan organisasi cemerlang berkongsi pengalaman serta pendekatan berkesan sebagai panduan kepada industri lain.
  • Anugerah bukan sekadar pengiktirafan, ia menjadi platform untuk menggalakkan amalan keselamatan melebihi pematuhan minimum.
  • Komitmen kepimpinan dan penyertaan seluruh warga kerja penting bagi membudayakan keselamatan dan melindungi kesihatan pekerja.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Hazlina Yon berkata, inisiatif itu bertujuan membolehkan organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan KKP berkongsi pengalaman serta pendekatan berkesan yang boleh dijadikan panduan oleh industri lain, khususnya dalam kategori yang sama.

“Anugerah berkenaan bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada organisasi dan individu cemerlang, malah menjadi platform menggalakkan pelaksanaan amalan keselamatan yang melebihi tahap minimum pematuhan perundangan”,

“Pemenang yang kita telah umumkan pada baru-baru ini mereka ini dapat menjadi contoh teladan kepada industri-industri lain dalam kategori yang sama”, katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Berita RTM hari ini.

Tambah beliau, Sebanyak 346 penyertaan diterima bagi edisi tahun ini berbanding 256 pada tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan 35 peratus.

Manakala 39 kategori dipertandingkan merangkumi 35 kategori organisasi dan empat kategori individu.

Antara penerima pengiktirafan ialah Petronas Dagangan Berhad bagi kategori mentor-menti, Traders Hotel Kuala Lumpur bagi kategori hotel, Kerjaya Prospek bagi kategori pembinaan serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah bagi kategori perkhidmatan awam dan pihak berkuasa tempatan.

Anugerah yang berlangsung pada 29 Oktober lalu itu turut menekankan kepentingan komitmen kepimpinan dan seluruh warga kerja dalam membudayakan keselamatan serta kesihatan pekerjaan, sekali gus memastikan pekerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran selamat dan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.