
KUALA LUMPUR, 1 November – Hampir 70 peratus penyakit baharu yang dikesan di seluruh dunia ketika ini berpunca daripada haiwan, atau dikenali sebagai penyakit zoonosis.
- Penyakit haiwan boleh merebak kepada manusia melalui proses spillover.
- Rabies menjadi ancaman utama, banyak kes dilaporkan di Sabah dan Sarawak.
- KKM memperketat kawalan pergerakan haiwan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk elak penularan ke Semenanjung.
- Elak sentuhan dengan haiwan liar tidak diketahui status kesihatan dan kumpulan berisiko disarankan dapatkan vaksinasi pencegahan.
Perkara tersebut didedahkan menerusi kajian kesihatan yang menunjukkan penyakit berkenaan berpotensi merebak daripada haiwan kepada manusia melalui proses yang dikenali sebagai ‘spillover’.
Ketua Sektor Kawalan Zoonosis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Mohd Hanif Zailani berkata, Penyakit yang sebelum ini hanya menular dalam kalangan haiwan, berpotensi merebak kepada manusia dalam keadaan tertentu.
“Dianggarkan 70 peratus penyakit baharu yang muncul berpunca daripada haiwan atau dikategorikan sebagai penyakit zoonosis, manakala kira-kira 60 peratus penyakit berjangkit sedia ada turut mempunyai kaitan dengan haiwan”, katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Berita RTM hari ini.
Katanya, antara ancaman penyakit zoonosis yang mendapat perhatian serius adalah jangkitan rabies dengan kebanyakan kes dilaporkan berlaku di Sarawak serta kes terbaharu melibatkan Kedah.
Bagi mengelakkan risiko jangkitan, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan sentuhan dengan haiwan liar yang tidak dikenali status kesihatan.