Penerima STR disaran manfaat PeKa Sihat

Foto BERNAMA

KULAI, 1 November – Semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), berumur 40 tahun ke atas, digalakkan menggunakan inisiatif PeKa Sihat, yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2027 peruntuk RM80 juta untuk PeKa Sihat, termasuk saringan kesihatan percuma di klinik swasta berdaftar.
  • Manfaat lain termasuk bantuan peralatan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser RM1,000, dan bantuan tambang pengangkutan.
  • Tiada pendaftaran diperlukan; semak kelayakan dan senarai klinik peserta melalui laman web rasmi dengan nombor kad pengenalan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan sebelum ini sebanyak RM80 juta diperuntuk dengan menawarkan pelbagai manfaat termasuk saringan kesihatan percuma merangkumi pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik swasta berdaftar.

Selain itu, program berkenaan turut menawarkan pelbagai manfaat lain, termasuk bantuan peralatan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser sebanyak RM1,000 sehingga tamat tempoh rawatan serta bantuan tambang pengangkutan kepada penerima yang layak.

“Orang ramai tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menyemak kelayakan. Mereka hanya perlu melayari laman web rasmi PeKa Sihat dan memasukkan nombor kad pengenalan bagi menyemak status kelayakan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyemak senarai klinik kesihatan swasta yang mengambil bahagian dalam program ini melalui laman web berkenaan,” katanya.

Teo berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Serahan Sumbangan Deepavali DUN Bukit Permai di Kuil Arulmigu Mariamman, di sini.

Sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi Parlimen Kulai sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Peruntukan tersebut disalurkan kepada golongan B40 di kawasan berkenaan bagi membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan.

Mengulas mengenai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Teo mengingatkan semua calon, penyokong dan parti politik yang bertanding agar berkempen secara berhemah serta mengelakkan sebarang isu yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Biarlah kita mengadakan kempen secara sihat dan matang. Walaupun perbezaan pandangan mungkin berlaku sepanjang tempoh berkempen, semua pihak perlu memastikan kempen dijalankan secara berhemah serta mengelakkan sebarang isu sensitif,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.