Macacua dipilih Ketua Menteri tetap pertama Parlimen Bangsamoro Filipina

Abdulraof Macacua, 69, menghadiri pemilihan Ketua Menteri Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di Cotabato City, selatan Mindanao, Filipina/Foto AFP

BANDAR COTABATO (Filipina), 30 Oktober – Bekas Ketua Menteri Interim Abdulraof Macacua dipilih dengan sokongan majoriti besar sebagai Ketua Menteri tetap Parlimen Bangsamoro semasa sesi sulungnya di Kompleks Kebudayaan Shariff Kabunsuan di sini pada Jumaat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Macacua dari Parti Federalis Bangsamoro menewaskan Ahod Balawag Ebrahim dari UBJP dengan 51 berbalas 27 undi.
  • Hanya 79 Ahli Parlimen hadir secara fizikal dan seorang Ahli Parlimen berkecuali semasa pengundian.
  • Parlimen turut memilih Amer Zaakaria Adiong Rakim sebagai speaker dengan 51 undi, menewaskan bekas speaker interim Mohammad Yacob.

Macacua daripada Parti Federalis Bangsamoro (BFP) menewaskan bekas Ketua Menteri Interim Ahod Balawag Ebrahim daripada Parti Keadilan Bangsamoro Bersatu (UBJP) dengan keputusan 51 berbalas 27 undi.

Seorang Ahli Parlimen (MP) berkecuali.

Pemangku Pegawai Pengerusi, MP Ishak Mastura, mengumumkan keputusan undian berkenaan.

Pengarah Sekretariat Parlimen Jaime Ayub berkata pihaknya sebelum itu menerima surat daripada Ahli Parlimen yang baru dipilih, Abdulrahman Mangudadatu, yang menyatakan beliau tidak dapat menghadiri sesi sulung itu kerana kurang sihat.

Abdulraof Macacua (kiri) mengangkat sumpah selepas dipilih sebagai Ketua Menteri Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim/Foto AFP

Menurut PNA, hanya 79 Ahli Parlimen hadir secara fizikal.

Macacua mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sheikh Muslim Guiamaden, wali atau Ketua Istiadat Bangsamoro.

Parlimen Bangsamoro turut memilih MP Amer Zaakaria Adiong Rakim sebagai speaker dengan memperoleh 51 undi.

Beliau menewaskan bekas speaker interim Mohammad Yacob yang menerima 27 undi. – BERNAMA-PNA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.