Siklon Arnab dijangka badai India

Gambar Hiasan/ RTM

NEW DELHI, 28 Oktober – Siklon Arnab, yang membawa kelajuan angin mencecah hampir 130 kilometer sejam (kmj), dijangka membadai kawasan pantai timur dan tenggara India pada awal pagi Rabu, menurut Jabatan Meteorologi India (IMD) pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribuan penduduk dipindahkan dari pesisir; bekalan elektrik ditutup 24 jam di banyak kawasan terjejas termasuk Visakhapatnam.
  • Sekolah ditutup di sekurang-kurangnya 14 daerah Andhra Pradesh; lebih 20 penerbangan di Vijayawada dan Visakhapatnam dibatalkan atau dijadual semula.
  • IMD ramal landasan antara Bapatla dan Visakhapatnam berhampiran selatan Yanam; laut bergelora dan kenaikan air pasang ribut dijangka.

Ribuan penduduk telah dipindahkan dari kawasan pesisir pantai yang terjejas ke lokasi lebih selamat, manakala bekalan elektrik ditutup selama 24 jam di kebanyakan kawasan yang terkesan akibat siklon berkenaan, termasuk Visakhapatnam di negeri selatan Andhra Pradesh.

Sekolah dan institusi pendidikan lain turut ditutup untuk beberapa hari akan datang di sekurang-kurangnya 14 daerah terjejas di Andhra Pradesh susulan cuaca buruk yang melanda kawasan-kawasan terbabit. Lebih 20 penerbangan yang berlepas atau mendarat di lapangan terbang Vijayawada dan Visakhapatnam di Andhra Pradesh sama ada dibatalkan atau dijadualkan semula.

“Ia berkemungkinan besar bergerak menghala ke barat-barat laut dalam beberapa jam akan datang, kemudian ke barat laut dan melintasi pantai Andhra Pradesh serta Yanam antara Bapatla dan Visakhapatnam, berhampiran selatan Yanam sebagai ribut siklon amat buruk dengan kelajuan angin kencang berterusan maksimum 125-135 kmj dengan tiupan kencang mencecah 150 kmj menjelang tengah hari 28 Oktober,” menurut IMD dalam satu kenyataan pada Selasa.

Laporan media tempatan menyatakan cuaca buruk disertai laut bergelora dan angin kencang, bersama kenaikan air pasang ribut dengan ketinggian ombak mencecah satu hingga dua meter melebihi paras pasang surut astronomi, dijangka melanda kawasan pesisir pantai Andhra Pradesh. -BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.