
MOSCOW, 27 Oktober – Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian membincangkan usaha meredakan konflik di Asia Barat serta situasi di Selat Hormuz dalam pertemuan, di sini.
- Menilai hubungan Tehran-Doha dan menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama politik serta ekonomi.
- Delegasi Qatar melawat Tehran bincangkan perkembangan serantau termasuk Selat Hormuz dan isu bekalan tenaga.
- Kementerian Luar Qatar: rantau perlukan rangka keselamatan baharu untuk mengelakkan keganasan berulang.
- Rundingan juga disertai pegawai Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan; Iran menyifatkan perbincangan itu sebagai sangat baik.
Pertemuan itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Forum Negara Pengeksport Gas, sehari selepas pegawai kanan Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan mengadakan rundingan dengan Iran di Tehran bagi mengelakkan perang di rantau itu tercetus semula.
Menurut televisyen kerajaan Iran, Sheikh Tamim dan Masout turut dilaporkan menilai hubungan antara Tehran dengan Doha serta menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama politik dan ekonomi.
Delegasi Qatar sebelum ini melawat Tehran pada Ahad bagi membincangkan perkembangan serantau termasuk rundingan, Selat Hormuz dan bekalan tenaga.
Pegawai Kementerian Luar Qatar, Ibrahim Al-Hashmi berkata, rantau itu memerlukan rangka kerja keselamatan baharu bagi mengelakkan keganasan berulang.
“Kami telah mendengar kenyataan positif daripada pihak Iran, tetapi mereka masih perlu menunjukkan niat baik, berhenti mengancam negara-negara di rantau ini dan membuka semula Selat Hormuz supaya semua usaha itu dapat disalurkan ke arah mewujudkan rantau yang selamat dan makmur,” katanya.
Rundingan di Tehran turut disertai Menteri Pertahanan Arab Saudi, Khalid Salman, Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir serta Ketua Perisikan Turkiye, Ibrahim Kalin.
Iran menyifatkan rundingan itu sebagai sangat baik.
Usaha diplomatik berkenaan dipergiat selepas Amerika Syarikat, Iran dan Israel memberi amaran bahawa permusuhan boleh tercetus semula dalam perang yang berlarutan sejak lapan bulan lalu. – AFP