
DURIAN TUNGGAL, 27 Oktober – Langkah penjimatan kerajaan tidak seharusnya menjejaskan pembangunan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.
- Penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak memerlukan akses kemudahan infrastruktur lebih baik untuk merapatkan jurang pembangunan.
- Jaringan jalan raya berkualiti menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo, pekan kecil dan kawasan pedalaman mesti dipertingkatkan.
- Keputusan pembatalan projek luar bandar perlu ditarik semula kerana peruntukan tersedia tetapi tiada penyaluran dana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penduduk di kawasan pedalaman kedua-dua negeri berkenaan masih memerlukan akses kepada kemudahan infrastruktur yang lebih baik bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Masyarakat di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak amat memerlukan jaringan jalan raya yang baik sebagai penghubung antara Lebuh Raya Pan Borneo, pekan-pekan kecil dan kawasan pedalaman.
“Lebih penting akses jalan raya yang berkualiti dan selamat perlu diberikan kepada rakyat di kawasan berkenaan. Mereka telah sekian lama ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur berbanding rakyat di Semenanjung,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berharap keputusan pembatalan sebahagian projek pembangunan luar bandar Sabah dan Sarawak dapat ditarik semula.
Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan sebahagian projek pembangunan luar bandar Sabah dan Sarawak yang diluluskan tahun ini dibatalkan susulan ketiadaan penyaluran dana meskipun peruntukan projek telah tersedia.
Beliau ditemui selepas merasmikan Rumah Terbuka JELITA – Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, di sini.