
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Penyanyi Ernie Zakri meneroka pelbagai sisi emosi manusia menerusi album terbaharunya, ATMA, yang menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.
- Judul ATMA bermaksud jiwa, mencerminkan perasaan dan pengalaman yang membentuk seseorang secara dalaman.
- Album padat dengan tujuh trek yang disusun bagi membentuk naratif emosi berkesinambungan.
- Lagu-lagu menyentuh pengkhianatan, kesunyian, ketakutan dan pergulatan diri, memberi ruang pendengar kaitkan pengalaman sendiri.
- Ernie mahu ATMA terus hidup melalui persembahan langsung, kandungan visual dan pengalaman mendalam bersama pendengar.
Membawa maksud “jiwa”, album itu mengangkat tema cinta, kerinduan, luka, kemarahan serta kekuatan untuk menerima kenyataan dan bangkit semula.
Ernie berkata, pemilihan judul ATMA mencerminkan perasaan dan pengalaman yang membentuk seseorang, termasuk perkara yang tidak terlihat dari luaran.
“Untuk saya, jiwa itu bukan sesuatu yang mudah diterangkan. Ia tentang apa yang kita rasa, apa yang kita simpan, apa yang pernah membentuk kita, semua benda yang mungkin orang tak nampak bila mereka melihat kita dari luar,” katanya.
Menurutnya, berbeza dengan album AURA yang meneroka perjalanan muzik lebih luas, ATMA tampil dengan konsep lebih padat menerusi tujuh trek yang disusun bagi membentuk naratif emosi yang berkesinambungan.
Album itu merangkumi sebuah intro, lima lagu utama dan lagu penutup berjudul Finito, dengan setiap trek memainkan peranan tersendiri dalam membawa pendengar menyelami perubahan emosi.
Dari sudut persembahan, Ernie mengakui setiap lagu menuntut pendekatan vokal dan penghayatan berbeza bagi memastikan emosi serta karakter karya dapat disampaikan dengan tepat dan jujur.
Beliau menjelaskan, penceritaan album itu tidak merujuk secara langsung kepada kehidupan peribadinya, sebaliknya terbentuk daripada gabungan pengalaman, pemerhatian, empati dan imaginasi.
Selain pengkhianatan, ATMA turut menyentuh kesunyian, ketakutan dan pergulatan dengan diri sendiri, sekali gus memberi ruang kepada pendengar mengaitkan lagu-lagunya dengan pengalaman masing-masing.
“Saya harap bila orang masuk ke dunia ATMA, mereka bukan cuma mendengar suara saya, tapi mereka dapat rasa sesuatu yang dekat dengan diri mereka sendiri,” katanya.
Perjalanan menuju pelancaran album itu dimulakan menerusi single Sejambak Bunga, yang memperlihatkan sisi Ernie lebih matang dan berani, selain mengetengahkan pendekatan muzik serta visual yang lebih gelap dan intim.
Ernie turut mengadakan ‘Intimate Pre-Album Listening Party’ pada 15 Oktober lalu bagi memberi peluang kepada peminat mendengar karya berkenaan lebih awal.
Selepas pelancaran, beliau berharap ATMA dapat terus berkembang menerusi persembahan langsung, kandungan visual dan pengalaman lain yang membolehkan pendengar mendekati karya itu dengan lebih mendalam.
“Selepas pelancaran album, saya nak ATMA terus hidup dalam cara yang lebih dekat dengan pendengar. Saya harap ATMA tidak berhenti sebagai sebuah album sahaja, tapi terus berkembang sebagai satu pengalaman yang orang boleh rasa, faham dan kaitkan dengan diri mereka sendiri,” katanya.