Kapal korek karam: Kesemua 19 kru berjaya diselamatkan

Foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA KURAU, 26 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan kesemua 19 kru kapal korek pasir MV VIVO ARYA yang dilaporkan tenggelam kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi CARILAMAT diaktifkan pada pukul 6.30 pagi selepas Pusat Operasi menerima panggilan kecemasan.
  • Aset Maritim KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238 serta komuniti maritim turut terlibat dalam operasi menyelamat.
  • Kru yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, ditemukan selamat oleh Bot PERKASA 1238 dan dihantar ke hospital; operasi ditamatkan pada 4.30 petang.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 6.30 pagi selepas Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan.

Operasi itu membabitkan aset Maritim Malaysia, iaitu KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238, dengan bantuan komuniti maritim di sekitar lokasi kejadian.

Seramai sembilan kru diselamatkan oleh kapal korek pasir MV YAODE 1 yang berada berhampiran, manakala sembilan lagi kru yang berada di dalam rakit penyelamat diselamatkan oleh MV VIVO DIYA.

Kesemua 18 kru itu kemudian dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang lagi kru yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, warga China berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh Bot PERKASA 1238 ketika operasi CARILAMAT dijalankan.

Mangsa dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Operasi CARILAMAT ditamatkan pada pukul 4.30 petang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.