Spurs lakar kemenangan bersejarah di Stamford Bridge

Foto AFP

LONDON, 25 Oktober – Tottenham Hotspur menumpaskan Chelsea 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sekali gus mencatat kemenangan kedua di gelanggang The Blues dalam tempoh 36 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesilapan penjaga gol Mike Penders dan kad merah kepada Cole Palmer menjadi faktor utama kemenangan Tottenham.
  • Mathys Tel menjaringkan gol menerusi aksi individu cemerlang yang memastikan kekalahan Chelsea.
  • Sejak 1990 Tottenham hanya menang sekali dalam 41 perlawanan di Stamford Bridge.
  • Kemenangan menaikkan Tottenham ke tangga ke-12 manakala Chelsea dihentam kritikan dan pemain diejek selepas perlawanan.

Skuad kendalian Roberto De Zerbi meraih kemenangan kedua liga berturut-turut hasil kesilapan besar penjaga gol tuan rumah, Mike Penders pada babak kedua dan kad merah yang dilayangkan kepada Cole Palmer.

Palmer, penyerang Chelsea dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua, sebelum Mathys Tel meledak gol menerusi aksi individu cemerlang bagi memastikan Chelsea mengalami kekalahan pertama di laman sendiri kepada Spurs, sejak 2018.

Sejak 1990, Tottenham hanya mencatat satu kemenangan dalam 41 perlawanan di Stamford Bridge, termasuk dalam semua pertandingan.

Kemenangan itu menamatkan rekod hambar Tottenham yang sebelum ini hanya menang sekali dalam 16 perlawanan liga terakhir menentang Chelsea, di laman sendiri mahupun tempat lawan.

Kemenangan terakhir mereka sebelum ini adalah pada 2023.

Selepas permulaan musim yang mengecewakan, Tottenham kini melonjak ke tangga ke-12 liga selepas meneruskan momentum kemenangan ke atas Coventry pada Isnin lalu, yang menamatkan penantian mereka untuk kemenangan liga pertama musim ini.

Sebaliknya bagi Chelsea, kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat kelab yang menduduki tangga keempat selepas mencatat kemenangan ke atas Bournemouth dan Everton dalam dua perlawanan liga terdahulu.

Pemain Chelsea diejek penyokong ketika meninggalkan padang selepas tamat perlawanan, sekali gus menggambarkan cabaran yang masih dihadapi pengendali dari Sepanyol, Xabi Alonso dalam musim pertamanya bersama kelab itu.

Tanpa Joao Pedro yang diketepikan akibat kecederaan pada saat akhir, Morgan Rogers mengisi posisi penyerang tengah Chelsea, namun jentera serangan yang dirombak itu gagal memberikan ancaman berkesan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.