Projek Residensi Siswa UM atasi isu kekurangan penginapan pelajar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya pada Khamis / Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) yang mampu menempatkan sehingga 40,000 pelajar berupaya membantu menangani isu kekurangan penginapan dalam kalangan pelajar universiti itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar menyambut baik inisiatif dan berharap ia mengurangkan beban kewangan akibat perlu menyewa di luar kampus.
  • Projek dijangka membantu pelajar aktif dalam sukan dan aktiviti lain yang sebelum ini tidak mendapat penempatan kolej.
  • Pelaksanaan dua fasa: fasa satu 10,000 tempat siap 2031; fasa dua tambah 30,000 tempat dijangka siap 2032.

Inisiatif berkenaan disambut baik pelajar universiti berkenaan yang berharap penambahan kapasiti kediaman dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar mendapatkan penempatan dalam kampus, seterusnya mengurangkan keperluan menyewa di luar universiti.

Pelajar, Muhammad Amirul Suhaimy berkata, penyediaan lebih banyak penginapan dalam kampus dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang terpaksa menyewa di luar universiti.

“Projek ini dapat mengurangkan beban mahasiswa kerana jika mereka tidak mendapat penginapan, mereka terpaksa menyewa di luar dan perlu mengeluarkan kos tambahan.

“Jadi, Residensi Siswa ini diharap dapat membantu mengurangkan beban mereka untuk melanjutkan pelajaran di UM,” katanya.

Sementara itu, Nur Qamarina berkata kos penginapan di luar universiti yang lebih tinggi menjadikan penyediaan kediaman dalam kampus sebagai langkah tepat yang membantu meringankan perbelanjaan pelajar.

“Projek ini sangat membantu disebabkan penempatan di luar universiti lebih tinggi kosnya berbanding di dalam universiti. Jadi, saya rasa ia sangat membantu.” katanya.

Selain itu, Imran Basheer berkata, masih terdapat pelajar yang aktif dalam bidang sukan dan aktiviti lain namun, tidak mendapat penempatan kolej kediaman berikutan kekurangan kapasiti sedia ada.

“Ramai dalam kalangan mahasiswa, walaupun aktif dalam bidang sukan dan pelbagai aktiviti, masih tidak mendapat penempatan kolej.

“Jadi, saya berharap projek ini dapat menjadi penyelesaian supaya semua mahasiswa UM mendapat penempatan di kolej kediaman.” ujarnya

Seorang lagi pelajar, Lim Xia Jin berharap kemudahan residensi berkenaan turut menyediakan prasarana yang menyokong keperluan pembelajaran, termasuk capaian internet yang stabil bagi memudahkan mahasiswa mengikuti kelas dalam talian.

“Saya berharap internet yang lebih stabil dapat disediakan. Apabila berlaku situasi di luar jangkaan seperti jerebu, mahasiswa perlu mengikuti kelas secara dalam talian, jadi capaian internet yang stabil dapat memudahkan pembelajaran.” jelasnya.

Projek Residensi Siswa UM dilaksanakan menerusi dua fasa, dengan fasa pertama menyediakan kapasiti penginapan untuk 10,000 mahasiswa dan disasarkan siap pada 2031.

Fasa kedua pula menyasarkan kapasiti tambahan untuk 30,000 mahasiswa, dengan pembangunan dijangka siap pada 2032.

Fasa pertama melibatkan pembangunan berhampiran Kolej Kediaman Dayasari, manakala fasa kedua merangkumi tiga lokasi dengan keluasan keseluruhan 42.1 ekar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.