
KUALA LUMPUR, 15 Oktober -Peruntukan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh industri perfileman, muzik dan kreatif tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri untuk mengembangkan bakat serta memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa.
- Kerajaan MADANI komited memperkasa industri kreatif sebagai sektor bernilai tinggi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
- Sokongan membantu meningkatkan penghasilan karya berkualiti serta membangunkan perniagaan kreatif yang lebih berdaya saing dan mampan.
- Pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket filem dan teater Wilayah Persekutuan dijangka merangsang permintaan terhadap karya tempatan.
- MyCreative Ventures akan terus sokong pembangunan ekosistem kreatif melalui pengukuhan kapasiti, pengkomersialan harta intelek dan peluasan akses pasaran.
Pengerusi Kumpulan MyCreative Ventures, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa industri kreatif sebagai sektor bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, sokongan berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan penghasilan karya berkualiti, malah membantu membangunkan perniagaan kreatif yang lebih berdaya saing dan mampan.
“Landskap industri yang berlandaskan teknologi, kandungan digital dan persaingan global menuntut agar kreativiti tidak seharusnya berhenti pada penghasilan karya semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih besar,” katanya kepada pemberita, di sini.
Sementara itu, pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan dijangka merangsang permintaan terhadap karya tempatan.
Inisiatif itu turut dijangka memperluas akses masyarakat kepada kandungan berkualiti, selain meningkatkan potensi pendapatan penggiat industri kreatif.
Langkah berkenaan sekali gus dapat memperkukuh pasaran domestik sebagai landasan bagi memperluas pengaruh karya dan bakat tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“MyCreative Ventures akan terus memainkan peranan menyokong pembangunan ekosistem ekonomi kreatif negara dengan memberi penekanan kepada penciptaan nilai, pengukuhan kapasiti pemain industri, pembangunan dan pengkomersialan harta intelek serta peluasan akses kepada pasaran dan peluang perniagaan,” katanya lagi.