
GAZA, 10 Oktober -Krisis makanan di Gaza terus meruncing apabila penduduk terpaksa beratur selama berjam-jam di dapur komuniti bagi mendapatkan makanan untuk keluarga, meskipun gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa sejak hampir setahun lalu.
- 1.4 juta daripada 2.1 juta penduduk mengalami ketidakjaminan makanan akut; 200,000 hampir mengalami kebuluran.
- Penduduk bergantung pada dapur komuniti; keluarga kekurangan makanan dan ada yang tidak mampu beratur kerana kecederaan.
- Kekurangan kepelbagaian makanan berkhasiat mengancam kesihatan kanak-kanak, wanita hamil dan menyusukan anak.
Seorang ibu kepada lapan anak, Niyaha al-Masri, berkata beliau menghabiskan sekurang-kurangnya enam jam sehari beratur di dapur komuniti yang dikendalikan pertubuhan kemanusiaan demi mendapatkan bekalan makanan.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata, tanpa bantuan berkenaan, beliau dan keluarganya tidak mempunyai makanan untuk meneruskan kehidupan.
Suaminya yang cedera pada kedua-dua belah kaki akibat serangan udara tidak mampu beratur untuk mendapatkan makanan seperti penduduk lain.
Makanan yang diperoleh itu menjadi satu-satunya hidangan bagi keluarga berkenaan sepanjang hari, yang kini tinggal di dalam khemah di Khan Yunis.
Pada Ogos 2025, badan yang disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), mengisytiharkan kebuluran di Gaza.
Bagaimanapun, pengisytiharan itu ditolak Israel.
Pada Disember tahun sama, PBB menarik balik pengisytiharan berkenaan selepas bekalan bantuan yang memasuki Gaza sepanjang dua bulan membantu memperbaiki keadaan.
Organisasi Kementerian Pertahanan Israel yang mengurus hal ehwal awam di wilayah Palestin, COGAT, memaklumkan kepada AFP bahawa keadaan kemanusiaan di Gaza stabil.
Namun, Program Makanan Sedunia (WFP) PBB menyifatkan keadaan keselamatan makanan di wilayah itu masih amat serius.
Pegawai WFP, Shaun Hughes, berkata data terkini pada Julai menunjukkan 1.4 juta daripada kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza mengalami ketidakjaminan makanan akut, dengan 200,000 daripadanya berada hanya satu tahap bawah kebuluran.
Walaupun sebahagian bekalan makanan memasuki Gaza, kekurangan kepelbagaian makanan berkhasiat terus mengancam kesihatan penduduk, khususnya kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusukan anak. – AFP