Gempa bumi 7.7 magnitud gegar Panama, dua cedera

Foto AFP

PANAMA, 10 Oktober -Sekurang-kurangnya dua individu cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Panama pada Jumaat, mengakibatkan beberapa bangunan dan jalan raya runtuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
  • USGS melaporkan pusat gempa 10 km dari Pitaloza Arriba, Herrera, berlaku pada 12.56 tengah hari waktu tempatan.
  • USGS mula menganggarkan magnitud 8.0 kemudian disemak semula kepada 7.7 magnitud.
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Panama City ditutup sementara dan beberapa penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang lain.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Menurut Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan Panama, gegaran cetek itu dirasai di seluruh negara Amerika Tengah berkenaan yang mempunyai kira-kira 4.5 juta penduduk.

Presiden Panama, Jose Raul Mulino, menyifatkan kejadian itu sebagai bencana besar, sambil memaklumkan beberapa jalan raya runtuh sepenuhnya.

Dua individu dilaporkan cedera selepas terperangkap dalam struktur bangunan yang runtuh, masing-masing berhampiran sebuah gereja di wilayah Veraguas dan sebuah hotel di wilayah Coclé.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada pukul 12.56 tengah hari waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar kecil Pitaloza Arriba di wilayah Herrera.

USGS pada awalnya menganggarkan gempa itu berukuran 8.0 magnitud sebelum menyemak semula kepada 7.7 magnitud.

Amaran tsunami turut dikeluarkan bagi kawasan timur Lautan Pasifik, namun kemudian ditarik balik.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Panama City ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga, manakala beberapa penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang lain.

Pihak Berkuasa Terusan Panama memaklumkan operasi perkapalan di laluan yang menghubungkan Lautan Pasifik dengan Lautan Atlantik itu tidak terjejas dan berjalan seperti biasa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.