Belanjawan 2027: RM 34.9 bilion untuk Sabah, Sarawak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,9 Oktober – Sebanyak RM34.9 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta keterhubungan luar bandar di kedua-dua negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan utama: Sabah RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion, mencerminkan komitmen pembangunan seimbang.
  • Peningkatan RM1.1 bilion bagi setiap negeri berbanding tahun sebelumnya.
  • Pendidikan: JPA gandakan tajaan untuk 4,200 pelajar setahun dan hampir RM1.3 bilion untuk naik taraf 682 sekolah daif.
  • RM3.3 bilion untuk projek jalan raya termasuk Lebuhraya Pan Borneo serta sambungan Trans Borneo; sokongan projek tenaga dan bekalan elektrik diteruskan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi kenyataan memaklumkan, peruntukan itu merangkumi RM18.7 bilion untuk Sabah dan RM16.2 bilion bagi Sarawak.

Jumlah berkenaan meningkat RM1.1 bilion bagi setiap negeri berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan memastikan pembangunan lebih seimbang dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperkukuh menerusi peningkatan Pemberian Khas kepada kadar interim RM1.5 bilion, selain rundingan bagi memuktamadkan formula pemberian tahunan.

“Bagi sektor pendidikan, tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak digandakan bagi membuka peluang kepada 4,200 pelajar setiap tahun.

“Kerajaan turut menyediakan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di kedua-dua negeri berkenaan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah turut memaklumkan peruntukan sebanyak RM600 juta kepada Sabah diteruskan bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik, disokong pemasangan Sistem STATCOM bernilai RM204 juta serta penerusan projek Talian Penghantaran Southern Link.

“Pembangunan Sarawak merangkumi Zon Ekonomi Khas Sibu, pembinaan Pusat Pakar Pergigian Kuching, pusat kepakaran penjagaan warga emas serta pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir Bandaraya Kuching.

“Bagi meningkatkan keterhubungan darat, kerajaan memperuntukkan RM3.3 bilion untuk projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Sarawak-Sabah Link Road dan laluan Trans Borneo,” tambah kenyataan itu.

Peruntukan berkenaan dijangka memperkukuh pembangunan kedua-dua negeri, di samping meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap MA63 terus diterjemahkan melalui pelaksanaan pembangunan yang nyata.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat mengumumkan Sabah dan Sarawak kekal menerima peruntukan tertinggi daripada kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027, masing-masing berjumlah RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion.

Peruntukan untuk Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion tahun ini, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion.

Selain itu, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak turut dinaikkan sebanyak tiga kali dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.