
KUALA LUMPUR, 29 September – Kerajaan menyasarkan enam daripada 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai simpanan asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030, selaras dengan keperluan bagi memastikan rakyat mempunyai pendapatan mencukupi sepanjang persaraan.
- Hanya empat daripada 10 ahli berada di landasan untuk mencapai kelayakan; ramai masih berisiko kehabisan simpanan persaraan lebih awal.
- Perlindungan sosial mencabar kerana ramai bekerja di luar sektor formal; sistem perlu berkembang mengikut perubahan landskap pekerjaan.
- Keselamatan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan baik dan keupayaan menyimpan; agenda gaji dan persaraan mesti bergerak seiring.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini empat daripada 10 ahli berada di landasan untuk mencapai had asas itu namun masih terlalu ramai rakyat berdepan risiko kehabisan simpanan lebih awal.
“Sasara kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah itu kepada enam daripada 10 orang menjelang 2030. Ini merupakan satu kemajuan, namun masih terlalu ramai rakyat Malaysia berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin berlangsung antara 20 hingga 25 tahun.
“Perlindungan juga menjadi satu cabaran, memandangkan ramai rakyat Malaysia bekerja di luar sektor pekerjaan formal, sedangkan sistem perlindungan sosial kita sebahagian besarnya dibangunkan berasaskan sektor berkenaan. Seiring perubahan landskap pekerjaan, sistem kita juga perlu berkembang dan disesuaikan dengannya,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, isu kecukupan simpanan persaraan perlu dilihat seiring dengan keadaan ekonomi dan kemampuan rakyat untuk membuat simpanan secara konsisten.
Tambahnya, keselamatan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik dan keupayaan untuk menyimpan secara berterusan, justeru agenda gaji dan agenda persaraan perlu bergerak seiring.
“Keselamatan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik dan keupayaan untuk menyimpan secara konsisten,” katanya.
Perdana Menteri dalam ucapannya juga berkata, kerajaan pada masa sama juga perlu mengambil kira realiti isi rumah yang berdepan keperluan kewangan semasa, termasuk kos makanan, sewa dan pendidikan, sebelum mereka mampu memikirkan simpanan untuk tempoh persaraan yang masih puluhan tahun lagi.