
KUALA LUMPUR, 29 September – Mana-mana pihak yang ingin mengemukakan representasi sama ada bantahan atau sokongan terhadap syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak Ke-7 perlu berbuat demikian sebelum pukul 5 petang esok.
- Representasi bertulis lengkap boleh dikemukakan secara dalam talian melalui portal rasmi SPR atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak.
- Serahan tangan diterima di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, Tingkat 11, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93728 Kuching.
- Pertanyaan hubungi Hotline KSP Sarawak di 082-254 233 atau e-mel ksp@spr.gov.my untuk maklumat lanjut mengenai penyerahan representasi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pameran syor berkenaan yang bermula 1 September lalu akan berakhir secara rasmi pada tarikh dan waktu tersebut.
Katanya, representasi bertulis yang lengkap boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi portal rasmi SPR atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak.
“Representasi yang lengkap juga boleh dihantar secara serahan tangan ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak di Tingkat 11, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93728 Kuching, Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung urusan penyerahan representasi bagi kajian persempadanan tersebut boleh menghubungi Hotline KSP Sarawak di talian 082-254 233 atau e-mel ke ksp@spr.gov.my.