
GENEVA, 29 September – Hampir 8.3 juta pelarian dan individu yang dipindahkan secara paksa berisiko kehilangan akses kepada bantuan penting tahun ini susulan kekurangan pembiayaan yang semakin meruncing, menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
- UNHCR memberi amaran pemotongan dana menyebabkan perkhidmatan perlindungan dan bantuan mencapai tahap kritikal, berisiko terhenti sepenuhnya.
- Kekurangan dana menjejaskan pendaftaran, perlindungan kanak-kanak dan bantuan anti keganasan serta eksploitasi di negara seperti Chad, Ethiopia dan Sudan.
- UNHCR memerlukan AS$8.5 bilion untuk operasi 2026; jurang pembiayaan besar dan hampir 5,000 jawatan dikurangkan.
UNHCR memberi amaran, pemotongan dana yang berterusan menyebabkan sistem perlindungan dan bantuan kepada pelarian di beberapa kawasan utama dunia semakin menghampiri tahap kritikal.
Menurut agensi itu, keupayaannya melindungi dan membantu pelarian, individu yang dipindahkan dalam negara (IDP) serta golongan tanpa kerakyatan semakin terjejas akibat kekurangan dana yang berpanjangan.
UNHCR memerlukan AS$8.5 bilion bagi melaksanakan operasi perlindungan dan bantuan pada 2026, namun setakat ini hanya sebahagian daripada jumlah berkenaan berjaya diperoleh. Data terkini UNHCR menunjukkan keperluan bajet global tahun ini berjumlah AS$8.505 bilion, dengan jurang pembiayaan masih besar.
Ketua Perhubungan Luaran UNHCR, Dominique Hyde, berkata perkhidmatan perlindungan tidak boleh terus dikurangkan tanpa menjejaskan keseluruhan sistem.
Beliau memberi amaran, apabila pembiayaan jatuh di bawah tahap tertentu, perkhidmatan bukan sekadar berkurangan, malah boleh terhenti sepenuhnya dan menyebabkan golongan paling berisiko kehilangan perlindungan diperlukan.
Di Chad, kira-kira 319,000 pelarian berdepan kelewatan pendaftaran, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk mengakses perkhidmatan.
Pada masa sama, kira-kira 233,000 kanak-kanak berisiko kehilangan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.
Di Ethiopia pula, liputan perlindungan kanak-kanak di sesetengah kawasan susut sehingga 85 peratus, manakala di Sudan, puluhan ribu mangsa keganasan seksual serta kanak-kanak berisiko tinggi boleh kehilangan akses kepada perkhidmatan perlindungan kritikal.
UNHCR berkata, penghentian pendaftaran atau perkhidmatan perlindungan kanak-kanak boleh menyebabkan risiko keganasan, eksploitasi dan penderaan yang cuba dielakkan golongan terbabit kembali menghantui mereka.
UNHCR turut memaklumkan kira-kira 117.8 juta orang di seluruh dunia dipindahkan secara paksa dari kediaman masing-masing pada akhir 2025, berbanding rekod 123.2 juta pada 2024.
Daripada jumlah itu, 35.6 juta merupakan pelarian di bawah mandat UNHCR, dengan dua pertiga daripadanya berasal dari Venezuela, Ukraine, Syria, Afghanistan dan Sudan.
Kekangan kewangan turut menyebabkan UNHCR mengurangkan hampir 5,000 jawatan pada 2025, iaitu lebih satu perempat daripada keseluruhan tenaga kerjanya.
Agensi yang berpangkalan di Geneva itu berkata, kekurangan dana turut menjejaskan usaha membantu pelarian mengurangkan kebergantungan kepada bantuan.
Di Iraq, sehingga 350,000 pelarian dan pencari suaka berisiko kehilangan peluang untuk menyertai program ekonomi, manakala di Syria, kira-kira 162,500 IDP rentan dan pelarian yang pulang tidak akan menerima bantuan kewangan awal sekiranya dana tambahan tidak diperoleh segera.
UNHCR berkata bantuan itu penting bagi membolehkan mereka membina semula kehidupan selepas kembali ke negara asal.-AFP