
BUTTERWORTH, 27 September – Bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan akan dipanggil polis seawal esok bagi memberi keterangan berhubung isu pentadbiran di negeri berkenaan.
- Polis akan memanggil beberapa saksi dan individu lain yang berkaitan untuk membantu siasatan.
- Tindakan diambil susulan beberapa laporan polis yang diterima berhubung isu pentadbiran.
- Polis akan mengambil keterangan daripada pihak berkaitan undang-undang, Menteri Besar dan individu lain yang mempunyai kaitan.
- Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan polis meneliti kemungkinan penglibatan Akta Hasutan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, beberapa saksi dan individu lain yang berkaitan turut akan dipanggil membantu siasatan.
Jelasnya, tindakan itu dibuat susulan beberapa laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.
“Setakat ini polis telah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan, termasuk seorang atau dua individu yang berkemungkinan menjadi saksi.
“Polis juga akan mengambil keterangan daripada pihak berkaitan undang-undang, Menteri Besar serta individu lain yang mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Projek Whitening the Blackspot Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini.
Jelasnya lagi, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang digunakan, beliau berkata polis masih meneliti semua laporan yang diterima dan tidak menolak kemungkinan terdapat kes yang melibatkan Akta Hasutan.
Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Khalid memaklumkan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.