Lelaki Orang Asli maut diserang harimau belang ketika cari rotan

Mangsa ditemukan di rumpun buluh berhampiran jalan balak, 200 meter dari lokasi serangan harimau belang/Foto Facebook Datuk Zolkafly Harun

SUNGAI SIPUT, 22 September — Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ditemukan pada pukul 6.58 petang di rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlaku serangan.
  • PERHILITAN menerima aduan kira-kira pukul 4.30 petang; operasi pencarian bermula pukul 6.30 petang melibatkan polis, RELA dan penduduk kampung.
  • Kesan tapak harimau belang serta beberapa petunjuk lain ditemukan di sekitar lokasi.
  • Khidmat nasihat keselamatan diberikan; perangkap harimau akan dipasang dan orang ramai dinasihat tidak memasuki kawasan sementara waktu.

Mangsa, Zamberi Angah, ditemukan pada kira-kira pukul 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlaku serangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya berada di kawasan hutan untuk mencari rotan.

Menurutnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima aduan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang sebelum pasukan bergegas ke lokasi.

“Operasi pencarian bersama bermula pukul 6.30 petang membabitkan PERHILITAN, anggota Balai Polis Lintang, RELA, kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak.

“Pada pukul 6.58 petang, mangsa ditemukan di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak dan kesan tapak harimau belang serta beberapa petunjuk lain turut ditemukan di sekitar lokasi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, khidmat nasihat keselamatan turut diberikan kepada penduduk, manakala perangkap harimau belang akan dipasang dalam masa terdekat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan berkenaan buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Zolkafly turut menziarahi keluarga mangsa bersama isterinya bagi menyampaikan ucapan takziah dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.