
KUALA TERENGGANU, 22 September — Seorang lelaki ditahan bersama dengan 183 bungkus air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Resak, Batu Payung, Marang, Ahad lalu.
- Seorang lelaki ditahan di Kampung Paya Resak, Marang; pelbagai barangan berkaitan air ketum dirampas dari rumahnya.
- Suspek mengaku mula meminum dan menjual air ketum sejak 2022; bekalan daun diperoleh dari Kedah melalui seorang runner.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952; semua rampasan diserahkan kepada BSJND Marang; saringan air kencing negatif.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, suspek berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam ketika berada di hadapan rumahnya.
“Pemeriksaan terhadap tubuh suspek tidak menemukan sebarang barang yang menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemukan 183 bungkus plastik lutsinar mengandungi air ketum,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Turut dirampas ialah dua tong ais, dua periuk bertutup, dua tong air, dua tong gas, sebuah dapur gas dan sebuah penapis air.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,040.
Ahmad Radzi berkata, soal siasat awal mendapati suspek mengaku mula meminum dan menjual air ketum sejak 2022.
“Suspek dipercayai mendapatkan bekalan kira-kira 50 kilogram (kg) daun ketum dari Kedah melalui seorang runner dengan bayaran RM1,500,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 50 kg daun ketum yang direbus boleh menghasilkan sehingga 140 bungkus air ketum.
Saringan air kencing terhadap suspek bagaimanapun didapati negatif dadah.
Suspek bersama semua rampasan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Marang untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.