
KUALA LUMPUR, 19 September – Selepas menjelajah Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kumpulan pop rock Indonesia, D’Masiv kembali menemui peminat Malaysia menerusi siri jelajah ‘D’Masiv Asia Home Run’.
- Kuala Lumpur dipilih destinasi terakhir Asia sebelum pementasan penutup di Jakarta; konsert di Mega Star Arena, 20 November jam 8 malam.
- Jelajah bertujuan mengeratkan semula hubungan dengan peminat, memberi suasana akrab seolah-olah menikmati persembahan di kediaman sendiri.
- Konsert dua jam menampilkan lagu popular seperti "Pergilah Kasih" dan karya terbaharu, dengan konsep visual berunsur semangat Indonesia; tiket di dmasivtour.com.
Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir jelajah di Asia sebelum kumpulan itu melabuhkan tirai di Jakarta, dengan persembahan dijadualkan di Mega Star Arena pada 20 November, jam 8 malam.
Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta, berkata jelajah itu bukan sekadar siri konsert, sebaliknya menjadi ruang untuk mengeratkan semula hubungan dengan peminat di luar Indonesia.
“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami.
“Kami berharap penonton dapat merasai keakraban, seolah-olah mereka sedang menikmati persembahan dalam keselesaan seperti di kediaman sendiri,” katanya.
Menurut Pengarah Projek, Shamsir Firdaus Shariman, Malaysia mempunyai ikatan istimewa dengan D’Masiv yang menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.
Katanya, D’Masiv bakal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popular termasuk ‘Pergilah Kasih’, ‘Jangan Menyerah’ dan ‘Cinta Ini Membunuhku’, selain karya terbaharu.
Sementara itu, Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina, berkata konsert sekitar dua jam itu turut mengetengahkan konsep visual yang membawa semangat Indonesia serta kisah perjalanan D’Masiv dari akar umbi.
D’Masiv yang ditubuhkan pada 2003 dianggotai Rian Ekky Pradipta (vokal), Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).
Tiket ditawarkan dalam pelbagai kategori Festival, Super VIP, Diamond, Platinum dan Gold dan boleh didapati menerusi laman rasmi dmasivtour.com.