
PUTRAJAYA, 18 September – Pasaran buruh negara kekal berdaya tahan, namun tekanan dalam beberapa sektor terus dipantau.
- Tenaga buruh meningkat kepada 17.37 juta, penduduk bekerja 16.85 juta setakat Julai 2026.
- Kadar penyertaan 70.9 peratus, kadar pengangguran 3.0 peratus dengan 520,300 penganggur.
- Sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit antara yang paling terjejas, tekanan dipantau.
- Kehilangan pekerjaan meningkat kepada 68,177, dan PERKESO serta MYFutureJobs menempatkan semula 143,653 pekerja.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tenaga buruh meningkat kepada 17.37 juta orang manakala penduduk bekerja mencecah 16.85 juta orang setakat Julai 2026.
Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, manakala kadar pengangguran kekal 3.0 peratus seperti bulan sebelumnya, melibatkan 520,300 penganggur.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit antara yang paling terjejas.
“Bagi tempoh Januari hingga 16 September, kehilangan pekerjaan meningkat kepada 68,177 pekerja, iaitu peningkatan 15,196 pekerja berbanding tempoh sama pada 2025.
“Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap tekanan dalam sektor tertentu susulan peningkatan kehilangan pekerjaan tersebut,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) Bilangan 15 Tahun 2026, di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Menurut beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerjaan dan portal MYFutureJobs telah melaksanakan penempatan semula pekerjaan kepada 143,653 pekerja bagi tempoh Januari hingga 11 September 2026.
“Ini menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, tetapi membantu pekerja yang terjejas kembali bekerja,” jelasnya.