
PUTRAJAYA, 18 September – Lebih 10,000 jemaah dari seluruh negara termasuk negara jiran berhimpun di Masjid Putra, di sini, bagi menunaikan solat hajat sebagai ikhtiar memohon perlindungan dan kesejahteraan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan.
- Jemaah dari seluruh negara dan negara jiran berhimpun di Masjid Putra untuk menunaikan solat hajat memohon perlindungan susulan jerebu.
- Dr Zulkifli Hasan berkata himpunan itu ruang berdoa agar kualiti udara kembali pulih dan jerebu tidak menjejaskan masyarakat.
- Program disertai imam serta Sheikh Idris Al-Fahri dari Morocco, dengan solat Jumaat, khutbah dan diakhiri solat hajat.
- Solat hajat dianggap ikhtiar umat Islam memohon kesejahteraan dan perlindungan daripada kesan buruk jerebu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, himpunan itu turut menjadi ruang untuk umat Islam bersama-sama menadah tangan, memohon agar kualiti udara kembali pulih dan keadaan jerebu tidak terus menjejaskan masyarakat.
“Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang mulia hari ini, kita bersama-sama dengan seluruh jemaah, bersama dengan imam dan turut berasa begitu berbahagia kerana dapat bersama-sama Sheikh Idris Al-Fahri, seorang ulama besar dari universiti di Morocco.
“Kita menunaikan solat Jumaat, mendengar khutbah dan diakhiri dengan solat hajat,” katanya sambil mengajak seluruh umat Islam turut bersama-sama berdoa supaya keadaan jerebu kembali reda.
Menurut beliau, solat hajat itu menjadi antara ikhtiar umat Islam untuk memohon kesejahteraan serta perlindungan daripada sebarang kesan buruk akibat keadaan jerebu.