Isu buli antara aduan utama diterima Talian Belia SEHAT

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin

PETALING JAYA, 18 September Talian Belia SEHAT menerima 234 panggilan dari Januari hingga Ogos tahun ini, dengan isu pembelajaran, buli, hubungan dan keluarga antara perkara yang dibangkitkan golongan muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Talian Belia SEHAT diperkenalkan menerusi penjenamaan semula untuk fokus kepada isu dan cabaran golongan muda, dikendalikan oleh kaunselor berdaftar.
  • Isu buli dikenal pasti sebagai antara aduan utama yang dibangkitkan oleh pengguna talian.
  • Hab Rakan Sokongan SEHAT dilancarkan untuk sokongan psikososial percuma dan sulit, dengan rakan sokongan terlatih serta laluan rujukan intervensi lanjut.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, talian itu diperkenalkan kerajaan negeri tahun ini menerusi penjenamaan semula talian umum sedia ada, dengan memberi tumpuan khusus kepada isu dan cabaran yang dihadapi golongan muda.

Perkhidmatan itu dikendalikan oleh kaunselor berdaftar daripada Pusat Kaunseling Selangor.

“Dari Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 234 panggilan telah diterima melalui talian ini dan ini menunjukkan saluran itu semakin dimanfaatkan oleh golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT bersempena Kempen Sifar Buli Negeri Selangor 2026, di sini.

Mengenai Hab Rakan Sokongan SEHAT, Jamaliah berkata, inisiatif itu dilaksanakan pada 11 Julai lalu bagi menyediakan sokongan psikososial secara percuma dan dalam talian, selain menjamin kerahsiaan pengguna.

Seramai 27 rakan sokongan dan pegawai klinikal telah menjalani latihan pada Jun lalu bagi memastikan perkhidmatan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Rakan sokongan berkenaan terdiri daripada individu yang mempunyai pengalaman berkaitan cabaran kesihatan mental, termasuk mereka yang pernah menjadi mangsa buli.

“Jadi mereka akan menjadi lebih relevan ataupun mereka rasa lebih dekat dengan apa yang dirasakan oleh mangsa.

“Pengguna boleh mendapatkan sokongan awal menerusi perkhidmatan itu sebelum dirujuk kepada perkhidmatan kaunseling, psikologi atau psikiatri sekiranya memerlukan intervensi lanjut,” katanya.

Kerajaan negeri akan terus memantau prestasi dan keberkesanan inisiatif berkenaan berdasarkan jumlah serta corak panggilan yang diterima.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.