Lebih 8 juta pengguna domestik terima manfaat peningkatan aras perlindungan bil elektrik

Menurut TNB, peningkatan aras perlindungan itu melibatkan tambahan hampir satu juta pengguna domestik

KUALA LUMPUR, 18 September – Lebih lapan juta pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau sehingga 90 peratus pengguna kini dilindungi daripada caj tambahan bil elektrik bagi penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, susulan peningkatan aras perlindungan yang diputuskan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengecualikan AFA, Cukai Jualan dan Perkhidmatan lapan peratus serta caj peruncitan RM10 bagi pengguna domestik berkelayakan.
  • Langkah berkuat kuasa mulai September hingga 31 Disember 2026; pengurangan bagi September dikreditkan dalam bil Oktober.
  • TNB dijangka menanggung caj AFA dan caj peruncitan antara RM120 juta hingga RM150 juta sepanjang tempoh.
  • Pengguna disaran amalkan langkah kecekapan tenaga melalui myTNB, peralatan cekap, skim Time of Use dan program Solar ATAP serta SuRIA Home.

Menerusi keputusan kerajaan itu, kesemua pengguna domestik dengan penggunaan 800 kWj dan ke bawah sebulan akan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus serta caj peruncitan RM10.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, peningkatan aras perlindungan itu melibatkan tambahan hampir satu juta pengguna domestik, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya ketika cuaca panas dan jerebu.

“Kita berharap langkah-langkah ini dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dirasai rakyat, khususnya susulan kenaikan AFA akibat situasi geopolitik dunia, selain cuaca panas dan jerebu.

“Peningkatan penggunaan melebihi 600 kWj juga boleh memberi impak besar kepada bil elektrik pengguna,” katanya dalam sidang media mengenai perkara itu, di sini.

Menurut beliau, langkah itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026, manakala pengurangan bagi penggunaan September akan dikreditkan dalam bil elektrik Oktober.

Syarikat utiliti itu dijangka menanggung caj AFA dan caj peruncitan antara RM120 juta hingga RM150 juta sepanjang tempoh berkenaan.

Meskipun diberikan perlindungan tambahan, pengguna disaran mengamalkan langkah kecekapan tenaga menerusi aplikasi myTNB, peralatan cekap tenaga, skim Time of Use (TOU) serta pemasangan solar bumbung di bawah program Solar ATAP dan SuRIA Home.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.