
KUALA LUMPUR, 18 September – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menafikan pernah menandatangani sebarang dokumen perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang tular di media sosial.
- Hannah berkongsi di Facebook, meminta orang ramai tidak menyebarkan dokumen palsu, memaklumkan Lembaga Pengampunan belum bersidang.
- Setiausaha akhbar beliau membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai dokumen itu.
- Beliau berkongsi tangkap layar pengesahan kepada MCMC; dokumen didakwa perintah tahanan rumah tular; Istana Negara tumpuan media.
Perkara itu dimaklumkan Hannah menerusi hantaran di akaun Facebook beliau awal pagi tadi.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
“Lembaga Pengampunan masih belum bersidang (semasa dokumen perintah itu viral). Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” menurut hantaran itu.
Hannah menerusi hantaran sama turut berkongsi tangkap layar pengesahan laporan yang dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara itu.
Terdahulu, tular di media sosial satu dokumen yang didakwa sebagai perintah tahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib yang ditandatangani Hannah.
Istana Negara menjadi tumpuan pengamal media sejak awal pagi ini bagi mengikuti perkembangan berkaitan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – BERNAMA