
SHAH ALAM, 18 September – Polis mengesahkan mayat seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank, berhampiran Pulau Ketam, Klang, ditemukan di perairan Hutan Melintang, Perak, semalam.
- Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, melalui pengecaman keluarga menerusi gambar dan kasut.
- Laporan sebuah bot nelayan tentang lelaki terapung kira-kira jam 4.26 petang memulakan tindakan operasi SAR.
- Kapal Maritim Nusa APMM Perak tiba dan mengesahkan penemuan sebelum mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
- Enam daripada tujuh dilaporkan ditemukan; empat selamat, dua meninggal; seorang lagi masih hilang, operasi SAR diteruskan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mangsa dipercayai Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37 tahun, berdasarkan pengecaman awal oleh waris keluarga menerusi gambar dan kasut yang dipakai.
Beliau berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan mengenai penemuan mayat lelaki terapung di perairan berkenaan kira-kira jam 4.26 petang.
Katanya, Kapal Maritim Nusa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak tiba di lokasi kira-kira 5.05 petang dan mengesahkan penemuan itu.
“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dan akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Dengan penemuan itu, enam daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang telah ditemukan, dengan empat mangsa selamat manakala dua meninggal dunia.
Seorang lagi mangsa, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49 tahun, masih belum ditemukan.
Operasi SAR yang memasuki hari kelima disambung semula pada 7 pagi tadi dengan membabitkan polis, APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.
Pada Isnin lalu, APMM Selangor melancarkan operasi SAR selepas menerima laporan mengenai kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada kira-kira jam 3.35 pagi.
Empat mangsa ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pada Rabu, polis mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43 tahun, di perairan Hutan Melintang pada kira-kira jam 8.30 pagi.
Operasi kini diteruskan bagi mengesan mangsa terakhir yang masih hilang.