
KUALA LUMPUR, 14 September – Pasaran harta tanah Malaysia dijangka kekal kukuh hingga akhir tahun ini selepas merekodkan 187,320 transaksi bernilai RM105.12 bilion pada separuh pertama 2026, kata Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak.
- Tiga faktor utama tentukan momentum pasaran: ekonomi dan perniagaan, akses pembiayaan termasuk SJKP, serta usaha memulihkan keyakinan rakyat.
- Pembangunan perumahan perlu berasaskan data supaya bekalan, lokasi, jenis dan harga disesuaikan dengan permintaan setempat.
- Kerajaan sokong pemilikan rumah melalui jaminan SJKP sehingga RM20 bilion dan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama.
Beliau berkata keadaan ekonomi, akses kepada pembiayaan serta keyakinan rakyat merupakan antara faktor utama yang akan menentukan momentum pasaran harta tanah dalam tempoh berkenaan.
“Yang pertama ialah ekonomi dan perniagaan, kedua ialah akses kepada pembiayaan seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), dan ketiga ialah usaha untuk terus membina keyakinan dalam kalangan rakyat kerana kalau rakyat sudah tidak yakin, mereka sukar membuat keputusan untuk membeli sesuatu yang sangat mahal seperti hartanah,” katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas program Bual Biz RTM di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Berdasarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2026, subsektor kediaman menyumbang 59.3 peratus daripada keseluruhan transaksi harta tanah negara dalam tempoh berkenaan.
Indeks Harga Rumah Malaysia pula mencatat pertumbuhan tahunan 0.9 peratus, dengan purata harga rumah mencecah RM506,317 seunit.
Mengulas usaha memastikan pembangunan perumahan benar-benar memenuhi keperluan rakyat, beliau berkata pendekatan berasaskan data perlu diberi keutamaan supaya bekalan rumah dapat disesuaikan dengan permintaan di setiap kawasan.
“Kita mesti membina rumah berdasarkan data kerana data akan menentukan lokasi yang diperlukan, jenis rumah yang sesuai, harga yang bersesuaian bagi setiap lokasi serta apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan rumah mampu milik,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh pemilikan rumah, kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM20 bilion menerusi SJKP, selain melanjutkan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 hingga 31 Disember 2027.