
KUALA LUMPUR, 14 September – Penyakit paru-paru kini antara tiga punca utama kemasukan ke hospital dan kematian di Malaysia, sekali gus menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani cabaran kesihatan pernafasan negara.
- Asma dan COPD memberi impak besar; 6% dewasa, hingga 13% kanak-kanak, kira-kira satu daripada tiga pesakit belum didiagnosis.
- KKM laksanakan Healthy Lung Initiative 2025 hingga 2030; 902 klinik akan jalankan pendekatan kesihatan paru-paru bersepadu.
- Penggunaan AI saringan X-ray, program LungShield dan NALURY meningkatkan pengesanan awal serta pemantauan penyakit pernafasan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit pernafasan kronik termasuk asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) memberi kesan besar kepada masyarakat.
Menurutnya, tuberkulosis (TB) juga terus menjadi antara cabaran kesihatan awam negara.
“Tuberkulosis pula terus memberi tekanan kepada sistem kesihatan kita dengan kadar insiden sebanyak 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 NIHR Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE) di sini, hari ini.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, enam peratus golongan dewasa dan sehingga 13 peratus kanak-kanak di negara ini menghidap asma, manakala kira-kira seorang daripada tiga pesakit masih belum didiagnosis.
Bagi menangani cabaran berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan ‘Healthy Lung Initiative 2025–2030, dengan 902 klinik kesihatan di seluruh negara dijangka melaksanakan pendekatan kesihatan paru-paru bersepadu menjelang akhir tahun ini.
“Ini menggabungkan promosi kesihatan, saringan, usaha berhenti merokok dan laluan rujukan dalam satu rangkaian penjagaan yang berteraskan keperluan individu,” tambah beliau.
Pada masa sama, KKM turut memperluas pendekatan Precision Public Health menerusi penggunaan saringan sinar-X dada berbantukan kecerdasan buatan (AI) untuk pengesanan awal,
Ia termasuk pelaksanaan program IHH-KKM-PDRM LungShield yang menyasarkan saringan terhadap 10,000 anggota polis trafik.
Usaha itu turut disokong penubuhan pangkalan data National Lung Health Registry (NALURY) bagi membantu pemantauan dan penilaian program, selain langkah menangani punca penyakit pernafasan melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Beliau berkata penyelidikan dan kerjasama seperti RESPIRE penting dalam menyediakan bukti berasaskan konteks tempatan bagi menyokong pelaksanaan dasar serta amalan klinikal yang lebih berkesan dalam bidang kesihatan pernafasan.
Mesyuarat Saintifik Tahunan RESPIRE tahun ini menghimpunkan kira-kira 140 perwakilan dan pakar bagi berkongsi hasil penyelidikan serta membincangkan usaha meningkatkan kesihatan pernafasan.