
KUALA LUMPUR, 13 September – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa akses dan kesinambungan perkhidmatan kesihatan penduduk pedalaman Sarawak tidak akan terjejas susulan penangguhan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
- Penangguhan FDS melibatkan tujuh pasukan memberi liputan 85 lokaliti dengan anggaran 14,830 penduduk.
- KKM mengaktifkan strategi berfasa, nilaikan semula perkhidmatan mengikut kebolehcapaian dan gunakan pengangkutan darat serta air selepas penilaian risiko.
- Kebutuhan logistik dan perkhidmatan MEDEVAC diselaras bersama JBPM dan ATM; operasi FDS hanya disambung selepas siasatan dan keselamatan dipastikan.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, penangguhan itu melibatkan tujuh pasukan FDS, yang sebelum ini memberi liputan kepada 85 lokaliti, dengan anggaran keseluruhan 14,830 penduduk.
Pada masa sama, KKM turut mengaktifkan strategi secara sistematik dan berfasa bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kawasan berkenaan.
Antaranya, menilai semula program perkhidmatan kesihatan mengikut tahap kebolehcapaian setiap lokaliti, selain memanfaatkan penggunaan pengangkutan alternatif melalui jalan darat dan air.
Bagaimanapun, kaedah berkenaan hanya akan dilaksanakan selepas penilaian risiko dilakukan termasuk keadaan laluan, tempoh perjalanan, faktor cuaca dan kesesuaian kenderaan yang disahkan selamat untuk petugas.
Bagi lokaliti yang berdepan kekangan geografi dan infrastruktur, KKM turut menyelaras keperluan logistik secara khusus termasuk keperluan perkhidmatan pemindahan perubatan (MEDEVAC) melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam perkembangan berkaitan, KKM memaklumkan, tempoh penangguhan operasi FDS, bergantung kepada hasil siasatan rasmi dan perkhidmatan tersebut akan disambung semula selepas KKM berpuas hati terhadap keupayaan operasi dan keselamatan pengguna.
Pada masa sama, kebajikan dan keselamatan semua petugas FDS, kekal menjadi keutamaan serta dilindungi mengikut peraturan dan polisi yang terpakai kepada penjawat awam.