Skuad sepak takraw akui tekanan meningkat menjelang Sukan Asia

Cabaran semakin besar susulan peningkatan tumpuan dan harapan peminat terhadap pasukan negara/ Foto FB PSM

KUALA LUMPUR, 12 September – Skuad sepak takraw negara mengakui cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 semakin besar susulan peningkatan tumpuan dan harapan peminat terhadap pasukan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Ketua Kontinjen meningkatkan tekanan kepada pasukan, namun pemain perlu kekal fokus pada prestasi.
  • Skuad menekankan bukan hanya memberi tumpuan kepada Thailand kerana banyak negara lain turut meningkat prestasi.
  • Pasukan menjalankan analisis lawan, menyasarkan memenangi setiap perlawanan dan PSM menetapkan sasaran dua pingat emas.

Ketua Jurulatih Ahmad Jais Baharun berkata, pelantikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Ketua Kontinjen (CDM) sedikit sebanyak menambah tekanan kepada pasukan, namun pemain perlu kekal fokus kepada prestasi.

“Kita sudah maklumkan kepada semua pemain bahawa di bahu mereka mempunyai tanggungjawab yang besar.

“Cabaran kita semakin besar, lebih-lebih lagi datuk presiden sendiri dilantik sebagai CDM dan ianya sedikit sebanyak memberikan sedikit tekanan kepada pasukan negara.

“Kita nampak pemain semakin bersiap sedia dan mampu menggalas cabaran dalam temasya Sukan Asia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan skuad sepak takraw negara tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada Thailand kerana beberapa negara lain turut menunjukkan peningkatan prestasi.

Katanya, pasukan negara sudah menjalankan analisis terhadap kekuatan dan kelemahan setiap lawan sebagai persiapan menghadapi saingan sebenar.

“Kita tidak boleh melihat kepada pasukan Thailand sahaja, kalau kita lihat sekarang banyak negara lain yang sedang meningkat prestasi mereka dari semasa ke semasa.

“Sasaran pasukan kita ada untuk memenangi setiap perlawanan untuk layak ke peringkat yang paling jauh,” katanya.

Sebelum ini, PSM menetapkan sasaran meraih dua pingat emas dalam acara sepak takraw pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang berlangsung dari 20 September hingga 3 Oktober di Gimnasium Nagoya City Mizuho Park.

Pada edisi Hangzhou 2022, Malaysia meraih perak dalam acara regu dan regu berpasukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.