
MANAMA, 12 September – Bahrain pada Sabtu mengesahkan tidak akan menyertai mesyuarat yang dicadangkan di Oman antara Iran dan negara-negara Teluk bagi membincangkan isu Selat Hormuz, yang kini disekat oleh Tehran sepanjang konflik di Asia Barat.
- Kementerian menegaskan keselamatan rantau tidak boleh dipelihara melalui kompromi; tuntut Selat Hormuz dibuka tanpa diskriminasi, bayaran atau permit.
- Bahrain kekal komited terhadap dialog namun tidak akan menjadi sebahagian mesyuarat kolektif melibatkan Iran sehingga hubungan diplomatik dipulihkan.
- Tehran berusaha meletakkan kawalan ke atas Selat Hormuz, termasuk cadangan mengenakan bayaran laluan dan rundingan dengan Muscat.
Kementerian Luar Bahrain menegaskan keselamatan dan kestabilan rantau tersebut tidak boleh dipelihara melalui dasar kompromi serta menuntut Selat Hormuz dibuka semula tanpa diskriminasi, bayaran atau permit.
“Bahrain kekal komited terhadap dialog, namun tidak akan menjadi sebahagian daripada mana-mana mesyuarat kolektif yang melibatkan Iran sebelum hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dipulihkan semula,” jelasnya.
Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 2016 seiring tindakan Arab Saudi semasa krisis serantau terdahulu.
Kementerian Luar Iran sebelum ini memaklumkan satu mesyuarat bakal dianjurkan oleh Muscat pada Isnin ini untuk merundingkan masa depan Selat Hormuz bagi bekalan minyak dan gas global.
Tehran dilapor berusaha untuk meletakkan kawalannya ke atas laluan strategik itu termasuk cadangan mengenakan bayaran laluan dan sedang berunding dengan Muscat yang turut mempunyai perairan wilayah di Selat Hormuz.- AFP