
KUALA LUMPUR, 12 September – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka ruang kepada pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sekiranya dia berminat.
- BAM memberi keutamaan kepada pembangunan pemain perseorangan sedia ada dan barisan pelapis untuk tempoh dua tahun akan datang.
- Perancangan dimatangkan bagi persiapan Sukan SEA 2027 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
- Aspek disiplin ditekankan supaya pemain perseorangan mematuhi ketetapan dan memperkukuh prestasi skuad kebangsaan.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu terletak pada Zii Jia, namun BAM ketika ini memberi keutamaan kepada pembangunan pemain perseorangan sedia ada serta barisan pelapis bagi menghadapi cabaran dalam tempoh dua tahun akan datang.
Perancangan itu penting sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027, seterusnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Saya pun sudah berbincang dengan Datuk Seri Lee Chong Wei. Beliau sekarang berada di Amerika Syarikat dan tidak dapat hadir pada hari ini. Tetapi, perkara itu terpulang kepada Lee Zii Jia.
“Bagi kita, kita mahu memberi fokus kepada pemain perseorangan yang ada sekarang dan juga barisan pemain junior,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata aspek disiplin turut menjadi keutamaan BAM, khususnya dalam memastikan pemain perseorangan mematuhi ketetapan yang ditetapkan badan induk.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM, selaras usaha memperkukuh prestasi skuad kebangsaan, di samping memastikan pembangunan pemain muda terus diberi perhatian.
“Dalam perbincangan Ahli Majlis, kita sudah membincangkan mengenai disiplin. Saya fikir itu adalah salah satu perkara utama yang kita mahu pastikan, khususnya pemain dalam bahagian perseorangan, supaya lebih berdisiplin dan mematuhi ketetapan yang dibuat.
“Pada masa sama, kita juga perlu memberi fokus kepada barisan pelapis, iaitu pemain-pemain muda. Kita perlu melihat pada Sukan SEA nanti dan juga Sukan Olimpik. Jadi, fokus kita adalah untuk tempoh dua tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mengesahkan Zii Jia sebelum ini pernah menjalani latihan di ABM, termasuk dua kali seminggu ketika membuat persiapan menghadapi Piala Thomas.
Bagaimanapun, Zii Jia kini mempunyai jadual pertandingan yang padat, selain pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menggunakan fasiliti latihan BAM.
Menurut beliau, langkah itu menunjukkan BAM masih membuka ruang kerjasama dengan pemain profesional, meskipun tumpuan utama badan induk ketika ini adalah memperkukuh skuad sedia ada serta membangunkan barisan pelapis berkualiti bagi menghadapi agenda badminton negara dalam tempoh dua tahun akan datang.