Lebih 1,000 penduduk sertai Kenduri Rakyat MADANI Bandar Tun Razak

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir merasmikan Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI 2026 Parlimen Bandar Tun Razak/ RTM

KUALA LUMPUR, 12 September- Lebih 1,000 orang menyertai Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI 2026 Parlimen Bandar Tun Razak yang berlangsung di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia melalui JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  • Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menekankan kepentingan memelihara keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama.
  • Program menampilkan aktiviti komuniti seperti Rewang Sekampung, Kenduri Rakyat, Jualan RAHMAH, pameran, kaunter kerajaan dan saringan kesihatan.
  • Beliau merasmikan stesen pengecas Flexi EV bernilai RM72,000 dengan empat unit pengecas kenderaan elektrik.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menerusi JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata keamanan dan keharmonian perlu terus dipelihara khususnya menjelang sambutan Hari Malaysia bagi memastikan masyarakat berbilang kaum dan agama dapat terus hidup dalam suasana saling menghormati.

“Kita mempunyai pelbagai bangsa dan agama, namun kita tetap saling menjaga seperti sebuah keluarga.

Itulah yang kita mahukan supaya Malaysia dapat terus membangun bersama,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk Rewang Sekampung, Kenduri Rakyat MADANI, Jualan RAHMAH, pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan, saringan kesihatan percuma serta persembahan kebudayaan dan patriotik.

Penganjuran program berkenaan selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (KHKM) 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” yang menekankan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan, penyampaian perkhidmatan kerajaan dan pengisian patriotik.

Pada majlis sama, isteri Perdana Menteri itu turut merasmikan stesen Flexi EV Charging bernilai RM72,000 yang dilengkapi empat unit pengecas kenderaan elektrik di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.