
KUALA LUMPUR, 12 September – Status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana di Nepal terus menjadi keutamaan kerajaan, termasuk usaha mendapatkan pengesahan rasmi mengenai kehilangan mereka.
- Kedutaan Malaysia di Kathmandu berunding dengan Kementerian Luar dan Kementerian Undang-Undang Nepal untuk mendapatkan kepastian mengenai individu hilang.
- Waris diminta mengemukakan dokumen yang boleh mengesahkan kehilangan ahli keluarga yang masih belum ditemui.
- Dokumen pengesahan kehilangan penting untuk memudahkan urusan waris, termasuk tuntutan insurans.
- Maklumat last ping telefon bimbit telah dikenal pasti di antara kawasan yang teruk terjejas akibat bencana.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang berusaha mendapatkan kepastian mengenai status mereka menerusi rundingan dengan Kementerian Luar dan Kementerian Undang-Undang Nepal.
“Kita telah minta supaya kedutaan di sana berurusan dengan Kementerian Undang-Undang di Nepal untuk bagaimana caranya.
“Kalau boleh, waris terdekat untuk mendapatkan apa jua dokumen yang boleh mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang sehingga kini tidak dapat ditemui itu dapat disahkan kehilangan mereka”, katanya demikian ketika ditemui media pada sesi lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata usaha mendapatkan dokumen yang mengesahkan kehilangan berkenaan penting bagi memudahkan urusan waris, termasuk berkaitan tuntutan insurans.
Menurutnya, di Nepal, sijil kematian bagi individu yang hilang dan tidak dapat ditemui hanya boleh dikeluarkan selepas tiga tahun, berbanding tujuh tahun di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata maklumat terakhir atau last ping telefon bimbit sebahagian daripada 55 rakyat Malaysia itu telah dikenal pasti.
Menurutnya, lokasi berkenaan merupakan antara kawasan yang teruk terjejas akibat bencana.