RTM bangunkan garis panduan penggunaan AI dalam penyiaran

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail/ BERNAMA

KUCHING, 11 September – Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang membangunkan garis panduan khusus berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri penyiaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM membangunkan garis panduan khusus bagi penggunaan AI dalam industri penyiaran.
  • Garis panduan penting untuk memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara bertanggungjawab.
  • Pembangunan mengambil kira perkembangan global, tetapi disesuaikan mengikut keperluan negara, industri dan masyarakat.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, garis panduan itu penting bagi memastikan penggunaan teknologi AI dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Beliau berkata perkembangan teknologi AI kini berlaku dengan pantas termasuk dalam industri penyiaran dan penghasilan kandungan.

Datuk Ashwad berkata, pembangunan garis panduan itu turut mengambil kira perkembangan di peringkat global, khususnya apabila semakin banyak negara mula melihat keperluan untuk mengawal selia penggunaan AI.

Bagaimanapun, katanya pendekatan yang dilaksanakan perlu disesuaikan dengan keperluan dan keadaan sesebuah negara, termasuk mengambil kira kepentingan industri serta masyarakat.

Jelasnya, RTM sedang meneliti pendekatan yang bersesuaian bagi memastikan penggunaan teknologi berkenaan mempunyai panduan yang jelas.

“Secara keseluruhannya, apa yang sedang kita lakukan ketika ini adalah membangunkan garis panduan yang jelas dan bersesuaian berkaitan penggunaan kecerdasan buatan dalam industri penyiaran”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya sempena Konferensi Antarabangsa Komunikasi dan Media Ke-10 (i-COME’26) di Auditorium Muzium Budaya Borneo, Kuching.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.