Usaha mitigasi DBKL berjaya kurangkan jumlah lokasi hotspot banjir – Hannah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh melancarkan Pusat Kawalan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan./ RTM

KUALA LUMPUR, 10 September – Usaha mitigasi yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mengurangkan jumlah lokasi titik panas banjir, termasuk banjir kilat, di ibu negara daripada 30 kepada 14 kawasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah mitigasi DBKL termasuk pembinaan tembok banjir, kerja pendalaman sungai dan pembersihan sungai secara berterusan.
  • DBKL diminta sentiasa memantau dan memastikan pembersihan serta longkang tidak tersumbat sepanjang masa.
  • Segambut dijadikan kawasan tumpuan mitigasi berikutan risiko banjir sekitar Sungai Toba.
  • Pusat Kawalan APM Wilayah Persekutuan dilancar untuk penyelarasan bencana, dan peruntukan RM30,000 disediakan bagi kebajikan anggota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu termasuk pembinaan tembok banjir, kerja-kerja mendalamkan sungai dan pembersihan sungai secara berterusan.

Tambahnya, Segambut kini menjadi antara kawasan tumpuan utama bagi langkah mitigasi banjir, susulan risiko banjir di sekitar Sungai Toba.

“Kita sentiasa pantau keadaan dan saya telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memastikan perkhidmatan asas seperti pembersihan serta memastikan tiada longkang tersumbat dilaksanakan sepanjang masa.

“Yang ini kita kena jalankan semua sepanjang masa, khasnya bila bukan musim hujan,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Fasa Kelapan Program Mamogram Percuma Etiqa dengan Kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Pusat Kawalan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan yang berperanan membantu penyelarasan operasi bencana di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pusat kawalan itu akan memperkukuh kerjasama antara APM dan DBKL, khususnya dalam penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan ketika berlaku bencana.

Beliau pada masa sama meminta DBKL memastikan perkhidmatan asas, termasuk kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang, dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan Kuala Lumpur sentiasa bersedia menghadapi musim hujan.

Selain itu, Hannah berkata kementeriannya akan menyalurkan peruntukan RM30,000 kepada APM Wilayah Persekutuan bagi menjaga kebajikan anggota, termasuk pembelian makanan dan minuman ketika menjalankan tugas dalam situasi kecemasan sehingga akhir tahun ini.

“Kadang-kadang untuk tunggu peruntukan itu agak sukar, jadi dengan adanya RM30,000 ini untuk membantu mereka hingga hujung tahun, saya rasa mencukupi dan saya berharap ini sedikit sebanyak membantu meringankan tugasan mereka di Kuala Lumpur,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.