
GEORGE TOWN, 9 Sept – Penang FC bangkit pada babak kedua menewaskan Melaka FC 2-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Bandaraya di sini hari ini, sekali gus melangkah ke suku akhir dengan agregat 3-1.
- Kpah Sherman membuka jaringan untuk Melaka FC pada minit ke-35.
- Stefano Brundo menyamakan melalui sepakan percuma minit ke-74; Enzo Celestine muncul wira dengan gol pada minit ke-91.
- Ketua jurulatih Wan Rohaimi kecewa dengan 40 minit pertama; perubahan babak kedua tingkatkan serangan sayap dan variasi yang membawa gol.
Melaka FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-35, sebelum kapten Penang FC, Stefano Brundo, menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-74.
Pemain gantian Enzo Celestine kemudian muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91, sekali gus melengkapkan kebangkitan Penang FC untuk menyingkirkan Melaka FC.
Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, mengakui jentera serangan pasukannya gagal berfungsi dengan baik pada 40 minit pertama, sekali gus membolehkan Melaka FC menguasai permainan dan mencipta tekanan ke arah gawang tuan rumah.
“Saya sangat tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan, terutama pada 40 minit pertama kerana bahagian serangan tidak berfungsi dengan baik.
“Apabila bahagian hadapan tidak berfungsi, permainan kita tidak berkembang dan kita terpaksa berdepan asakan Melaka sebelum dibolosi menerusi gol pertama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Wan Rohaimi berkata perubahan yang dilakukan pada babak kedua memberikan dimensi berbeza kepada corak serangan Penang FC, dengan pasukannya lebih agresif menerusi gerakan dari kedua-dua sayap.
“Selepas pertukaran dibuat, pasukan mula berkembang dengan melakukan serangan dari kiri dan kanan, hantaran lintang serta percubaan ke arah gol.
“Barulah kita nampak variasi serangan yang akhirnya berjaya menghasilkan dua jaringan untuk mengatasi Melaka FC,” katanya.
Beliau berkata Penang FC kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Kelantan Red Warriors FC pada Sabtu ini, dengan kemenangan pertama musim ini menjadi sasaran utama sebelum memberi perhatian kepada JDT pada suku akhir Piala FA.
“Kami tahu JDT satu pasukan yang utuh dan hebat, tetapi kami tidak akan memberikan laluan mudah. Kami akan memberikan saingan seperti tahun lepas.
“Namun, bagi saya perlawanan seterusnya lebih penting kerana dalam liga kami masih belum mendapat kemenangan dan menjaringkan gol. Jadi, perlawanan pada Sabtu ini menjadi keutamaan berbanding suku akhir Piala FA,” katanya.
Sementara itu, Ketua jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan, berkata pasukannya berjaya mengawal permainan dengan baik pada babak pertama, terutama selepas memperoleh gol pendahuluan.
Bagaimanapun, beliau berkata jaringan penyamaan Penang FC mengubah momentum perlawanan, sebelum tekanan berterusan tuan rumah pada babak kedua menyukarkan Melaka FC mengekalkan rentak permainan.
“Selepas tersingkir daripada Piala FA, kami perlu mengalihkan fokus kepada saingan liga kerana beberapa perlawanan awal ini sangat mencabar dan penting untuk kami,” katanya.