
KUCHING, 9 September – Jururawat yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang petang semalam, Debra Moset, 40, disifatkan sebagai seorang yang ceria dan gemar memasak setiap kali pulang ke kampungnya di Padawan, di sini.
- Adiknya kenang Debra ceria, rapat dengan lima beradik dan sering meluangkan masa bersama keluarga.
- Debra gemar memasak untuk keluarga; rendang daging wajib masa perayaan, anak-anak sukakan kari masakannya.
- Berita nahas disampaikan abangnya dan keluarga kini merindui keceriaan serta masakan istimewa Debra.
Adiknya, Morgan Moset, 39, berkata ketika kali terakhir bertemu dengan Debra bulan lepas, dia tidak melihat sebarang petanda luar biasa, malah kakaknya itu kelihatan ceria seperti biasa meluangkan masa bersama-sama keluarga.
Morgan berkata Debra yang lebih 10 tahun bekerja di Miri tidak pernah melepaskan peluang untuk pulang ke kampung setiap kali cuti meskipun dalam tempoh sehari dua sahaja.
“Hubungan kami lima beradik sangat rapat sejak kecil, malah saya dan Debra yang hanya berbeza setahun sering menghabiskan masa bersama-sama ketika membesar,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Semadang, Padawan, hari ini.
Ditanya tentang khabar perit itu, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata dia menerima berita tentang nahas terbabit daripada abangnya ketika berada di tempat kerja, semalam.
“Abang memberitahu saya helikopter dinaiki Debra telah jatuh (terhempas). Saya yakin Debra berada dalam penerbangan itu kerana memang jadualnya bertugas ketika itu,” katanya.
Mengimbau kenangan kakaknya yang suka memasak apabila pulang ke kampung, Morgan berkata yang paling tidak dapat dilupakan dan sering dinanti-nantikan seisi keluarga ialah juadah rendang daging masakan Debra, khususnya ketika musim perayaan seperti sambutan Hari Krismas dan Hari Gawai.
“Kalau perayaan, memang wajib ada rendang masakannya. Dia selalu masak dan muat naik gambar dalam kumpulan (WhatsApp) keluarga. Anak-anaknya pula menggemari kari masakannya,” katanya dan menambah seluruh keluarga pastinya merindui keceriaan dan keenakan air tangannya selepas ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata identiti kesemua lima mangsa nahas itu sudah dikenal pasti, iaitu juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat Jessie Paya Jok, 44, dan Debra.-BERNAMA